Carian

4 Ilmu dari bermain batu seremban

Agak-agak ramai tidak, yang masih kenal dengan permainan tradisional batu seremban?

Batu seremban adalah antara permainan tradisional yang paling seronok dimain oleh anak-anak terutamanya anak perempuan. Sambil bermain, dapat kawan baru, dapat kemahiran baru. Tapi sekarang macam susah nak tengok generasi alpha ni main permainan tradisional ni, betul tak?

Generasi 90-an dan ke atas mesti merasai pengalaman bermain batu seremban ni. Malah dulu ni, siap berlumba siapa paling hebat! Kalau timbang lima dan dapat tangkap lima biji memang kira power.

batu seremban


Awalnya, tak terfikir pun nak kenalkan batu seremban pada Wildan dengan Mukhlis. Boleh kata dah mati akal cari idea apa nak main dengan diorang untuk elakkan pendedahan skrin yang banyak. Yelah, kalau hari-hari nak mengajar membaca dan buat aktiviti dengan Wildan, lama-lama dia cepat bosan. Lagi-lagi kalau rutin setiap hari sama je. Kena juga selang seli bila buat aktiviti supaya dia seronok.

Kebetulan pula, adik Ainaa (OKU), Ummi daftarkan masuk kelas menjahit dan tercetuslah idea mak nak buat batu seremban. Mulanya sekadar nak isi ruang masa siapkan projek buat uncang. Tak disangka-sangka dapat dua tiga set terjual di kalangan saudara mara yang ada anak kecil. Rupanya ramai yang nak kenalkan anak dengan permainan tradisional ni.

Aku tolong juga promosikan dekat dalam group kejiranan di Facebook. Mana tahu ada rezeki, dapat jual satu dua set. Dan memang ada yang nak pun. So, alang-alang dah singgah rumah Ummi untuk ambil set batu seremban yang ditempah orang, ambillah satu set untuk main dengan anak-anak.

Nak tahu reaction Wildan dan Amanda (adik bongsu) bila tengok mak tunjuk cara main batu seremban?

Diaorang teruja sangat! Kagum tengok skill mak baling dan kutip buah. Dan pada masa yang sama Amanda nak cuba main. Wildanlah yang paling kelakar. Sebab lepas tengok kami yang tua-tua main batu seremban, laju dia menyebut 'Wildan tak pandai'. Aduhai. Dia tengok kitaorang dah expert baling tinggi dan boleh sambut. Kami memang pesan, nak main batu seremban ni kena banyak buat latihan membaling dan menangkap.

Sekarang ni dia cuba baling rendah je, bagi dapat sambut. Kalau suruh tinggi sikit, mesti dia cakap tak pandai tu.

main batu seremban
Wildan dengan Mukhlis nak main batu seremban juga walaupun tak pandai.

Dulu, batu seremban ni orang anggap permainan budak perempuan. Kalau budak lelaki kebiasaannya mainan mereka ceper (tudung botol kaca). Ingat lagi, kalau dalam sekelompok perempuan ada sorang lelaki main batu seremban, tak memasal kena label 'pondan'. Sama juga kalau dalam sekelompok lelaki ada sorang perempuan main ceper, dapatlah gelaran 'tomboy'. Taboo sangat dulu kalau lelaki main mainan perempuan atau sebaliknya.

Tapi, semuanya aku main. Batu seremban, ceper, gasing, lompat getah, lompat zero point, congkak. Selagi boleh explore dan main, main je. Itulah 'gajet' kami generasi 90-an.

Sebenarnya, kalau kita perhatikan permainan tradisional sebenarnya ada banyak benda kita boleh belajar.

batu seremban


Disclaimer: Ini seratus peratus pendapat dan pandangan peribadi. Tak ada reserach pun pasal benda ni.

Dari permainan batu seremban, tergerak hati nak kenalkan pada Wildan sebab aku nampak beberapa manfaat dan perkara penting yang boleh dipelajari:

1. Perkembangan kemahiran sensori

Kebiasaannya batu seremban diperbuat daripada batu-batu kecil atau kacang hijau yang dibalut dalam kain. Jadi sambil anak meramas-ramas tu sensori dia diransang dan sensori ni merupakan satu perkara penting dalam perkembangan anak-anak sebelum masuk sekolah atau sebelum dia boleh menulis. Kalau budak yang asyik menghadap gajet dan skrin yang perlbagai warna dan fast paced movement, sensori pada tangan dia tak berkembang sebab tangan dia tak dirangsang, tak meneroka, asyik scroll skrin je.

2. Tingkatkan fokus

Perasan tak, bila kita main batu seremban ni, kita ada matlamat yang kita nak capai?
Contoh masa main giliran Batu Satu, matlamat main adalah untuk kutip satu buah sambil membaling satu ibu buah. Bila kita mula membaling, otak kita dah ada target buah mana nak kutip dan pada masa yang sama dapat tangkap buah yang kita lambung tadi. Otak pun mula fokus untuk pastikan target tercapai. Sama juga masa timbang. Kalau dulu, kena gegar meja pun boleh mengamuk sebab mengganggu kosentrasi.

3. Belajar susun strategi

Ini semestinya! Sebab sebelum kita nak melambung buah, otak kita dah susun dan letak target, cara nak kutip buah-buah dan siapkan tugasan untuk setiap peringkat. Lagi-lagi bila letak syarat tak boleh gharib (gegar buah lain yang tak dikutip). Nak lambung pun ada cara supaya batu seremban tak melekat atau nak bagi dia jarak-jarak, bergantung pada apa yang kita nak capai.

4. Matematik mudah

Untuk anak-anak 3-5 tahun, yang baru belajar matematik memang bagus main batu seremban. Terutamanya untuk batu satu, batu dua, batu tiga dan batu empat. Boleh main bilang-bilang kan. Macam Mukhlis dia suka main keluarkan semua dan masuk satu-satu dalam uncang. Sambil tu mak dia tolong kirakan kuat-kuat. Lama-lama dia mula belajar tangkap sambil membilang.

(update 23 Mac 2019)

5. Mengasah skill komunikasi anak-anak

Bila main batu seremban, mesti ada komunikasi nak tahu giliran, nak bagitahu peraturan permainan. Dan sambil bermain mesti ada borak-borak sambil tunggu giliran kan? Takkan diam tak berkata apa. Haaa, time macam nilah kita boleh asah skill komunikasi anak-anak. Sambil main, sambil kita terapkan cara yang betul untuk anak bercakap dengan orang. Contoh kalau tak puas hati atau nak marah, ajarkan cara yang betul bukan biarkan anak jerit dan mengamuk, kan? Kalau happy, takkan nak biar anak ejek orang pulak.

Nampak tak hebatnya orang dulu-dulu reka mainan? Tanpa gajet pun boleh belajar sambil bermain. Seronok pula rasa bila kupas pasal batu seremban.

Kalau korang berminat nak dapatkan batu seremban ni, boleh terus mesej aku direct atau komen je bagitahu nak satu set.
Harga pastinya mampu milik dan berbaloi sebab jahitan kemas dan tahan lama, insyaAllah.

Jangan segan-segan kalau nak order untuk anak sendiri ke anak buah atau untuk diri sendiri.

2 ulasan

Komen