Rabu, 2 November 2016

Another hero was born

Assalamualaikum

Alhamdulillah, sekarang aku dah jadi mak kepada dua orang hero. Hari ni aku kongsi sikit pengalaman bersalinkan adik Wildan. Alhamdulillah, proses berjalan dengan lancar.


14 Oktober, Jumaat.

Hari itu sama macam hari yang lain. Bezanya, incik suami bawa Wildan keluar tengahari itu selepas solat Jumaat. Aku pula sakit pinggang. Memang biasa sakit pinggang, cumanya sakit pinggang hari tu kuat dari biasa dan selepas berehat selama dua jam, sakit masih ada. Malam tu pula ada appointment doktor di KPMC jam 8 malam. Aku kuatkan diri dan rasa sakit berkurang walaupun masih ada.

Usai solat Maghrib, kami terus ke KPMC. Biasanya Wildan akan ikut tapi atas nasihat Ummi, selepas aku mengadu sakit pinggang, Wildan tinggal di rumah. Susah sebenarnya nak tinggalkan Wildan. Kebetulan Ummi tempah satay dan nak keluar pick up di kedai. Wildan pula suka kalau ajak keluar. Jadinya, kami pakat Ummi bawa Wildan dan kami keluar selepas Ummi keluar.

Setiba di KPMC, aku dapat nombor giliran yang ke sepuluh. Biasa menunggu dekat sejam hingga dua jam. Jam 10.15 malam, barulah nombor aku dipanggil untuk berjumpa doktor. Doktor sangat kagum yang aku masih boleh bertahan selama 9 minggu selepas mendapat tahu aku short cervix pada minggu ke-30. Doktor tanya juga ada rasa sakit contraction ke apa-apa ke. Sepanjang seminggu tu ada rasa contraction cuma tidak kuat dan tidak regular. So, doktor kata kalau due date dah sampai tapi masih belum ada tanda, aku akan terus masuk ward. Due date seminggu je lagi.

Doktor scan baby dan mula mencarta graf. Berat baby tak ada pertambahan tapi seperti ada kekurangan. Minggu sebelum ni berat 2.7 kg tapi malam tu check 2.6 kg pula. Graf pertumbuhan pun dah mula mendatar. Terus doktor kata dia nak check bukaan. Bila dah check, katanya bukaan dah separuh. Kalau ikut pengalaman aku dulu, tak lama dah kalau separuh bukaan. Aku sendiri terkejut sebenarnya. Hari tu tak ada rasa apa-apa contraction pun, sakit pinggang yang lama tu je.

Doktor masih perlu berjumpa dengan beberapa orang pesakit lagi. Dia suruh pembantu dia bawa aku ke pendaftaran untuk daftar ward dan seterusnya proceed ke labour room. Masa tu, kami kelam kabut sikit sebab barang semua kat rumah. Nak tak nak incik suami kena balik dulu untuk ambil barang. So, lepas keluar dari bilik doktor, incik suami terus balik rumah. Jarak tak jauh cuma kurang lebih 30 minit pergi balik. Sambil-sambil menunggu aku layankan movie TV3 tanpa suara di ruang menunggu. Aku rasa macam tak percaya yang tak lama lagi aku akan bersalin.



15 Oktober, Sabtu.

Jam 12.43 pagi, aku masuk ward. Nurse bagi sepersalinan baju hospital dan ubat buang air besar. Selesai bersihkan diri, kami solat jemaah Isya dan solat hajat. Kemudian nurse datang untuk record CTG baby selama 15 minit. Entah berapa lama masa berlalu, dalam jam hampir 2 pagi barulah aku dibawa ke labour room. Masuk drip dan dipasang CTG. Sementara menunggu, kami borak panjang. Dari satu topik ke satu topik. Haha. Contraction yang datang pun sama seperti yang aku rasa sepanjang minggu. Sempat aku terlelap masa berborak.

Sehinggalah jam masuk 4 pagi, aku tertanya-tanya kenapa doktor masih belum datang. Nurse datang dan check bukaan, katanya masih yang sama. Dalam jam 4.20 pagi barulah doktor datang dan terus pecahkan ketuban. Setengah jam yang pertama contraction tak kuat. Aku dan incik suami sempat sambung borak. Lepas tu sakit makin kerap. Fokus aku pada conversation dengan suami mula hilang. Tapi incik suami sempat berlawak itu ini.

Jam 5.10 pagi, nurse datang lagi untuk check jalan. Kali ni bukaan dah hampir penuh. Contraction dah makin kerap tapi masih bearable. Tak lama kemudian, contraction makin kuat dan jarak selang seminit. Setiap kali datang sakit, tangan suami aku genggam kuat. Suami bagi semangat dan terus menyuruh aku istighfar dan ingat Allah. Penat dan sakit. Aku terasa nak pitam. Badan berasa lemah. Mungkin penat menunggu. Bila aku cakap tak larat, suami cakap insyaAllah boleh.

Nurse datang dan menyuruh aku mengiring. Bila mula mengiring, terasa baby nak keluar. Tangan incik suami aku genggam erat. Tak mampu nak diterangkan sakit. Suami masih membisikkan istighfar dan doa nabi Yunus. Aku ikut dan cuba menenangkan diri. Nurse cakap kena tahan sebab bukaan belum penuh. Aku ikut semua arahan yang nurse bagi. Kurang dua atau tiga minit, aku sendiri yang cakap pada nurse memang baby dah nak keluar. Bila dia check memang bukaan penuh. Dalam sekelip mata, aku kembali baring dan terus meneran. Alhamdulillah, baby selamat dilahirkan pada jam 5.23 pagi.

Sama seperti kelahiran Wildan, perasaan aku bercampur gembira, terharu, sedih dan macam-macam. Aku dengar bunyi tangisan. Benda pertama incik suami cakap pada aku bila baby keluar ialah baby iras Wildan masa baru lahir. Selepas dipotong tali pusat, baby dibedung kemudian diberi pada suami unuk diazankan. Barulah aku dukung dan beri susu. Bila tengok muka baby memang saling tak tumpah Wildan baru lahir, dan membuatkan aku rasa seperti pertama kali bersalin.

Selepas uri keluar, sakit rengat di rahim terasa sangat kuat. Macam senggugut tapi sakitnya berterusan dan tak tertahan. Bila tanya nurse, mereka beri ubat kecut rahim sebab tu rasa sakit kuat. Dulu masa bersalinkan Wildan, diletakkan air dalam termos di atas perut selepas uri keluar. Selang beberapa minit, nurse datang dan check rahim. Katanya ada darah beku dan perlu dikeluarkan. Selepas keluar darah beku barulah kurang sakit rengat di rahim. Alhamdulillah.

Jam 6.50 pagi aku diusung ke ward dan baby diambil untuk dimandikan. Nurse mandikan dan siap sikat tepi rambut baby.



Pengalaman bersalin kali ini memang pengalaman baru biarpun kali kedua bersalin. Masa yang berlalu terasa sangat cepat, lagi-lagi semasa melahirkan. Entah macam mana aku boleh survive sakit tu sampai hari ni pun aku masih tertanya. Ianya satu nikmat yang aku tak boleh nak ceritakan semula pada orang lain. Tak mampu nak diterangkan secara jelas.

InsyaAllah, nanti nak update pasal pengalaman bersalinkan Wildan. A whole different experience.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Let's hear it from you.