Isnin, 18 Julai 2016

Ramadan, Aidilfitri dan Mengandung

Assalamualaikum

Dah lama niat nak sambung tulis. Ada perancangan untuk buat penulisan secara berkala, cuma masih dalam progress.

Tahun ini Ramadan dan Aidilfitri aku ditemani satu lagi nyawa baru. Wildan dulu pun lahir sebelum puasa. Rasa Ramadan masa tu dah hujung tempoh berpantang. Kiranya, Raamadan kali ini sangat berbeza.

Sebelum masuk Ramadan, aku ada berpuasa beberapa hari supaya badan dan baby tak terkejut sangat. Nak-nak pula, masuk Ramadan kali ini dah masuk trimester kedua. Keloyaan dan alahan dah lepas, tapi kelaparan dan baby tendang minta makanan pula yang kena tempuh. Tambah pula, Wildan dah masuk 2 tahun dan dah makin cerdik.

Hari pertama puasa tu hari check up bulanan kat klinik. Sebelum ni, check up memang tak ada masalah. Alhamdulillah semua ok. Nak jadi cerita, check up hari tu, berat badan naik sebanyak 3 kilo dalam masa tiga minggu. Aku kena datang selang tiga minggu sebab kes haemoglobin rendah sebelum ni. Hari tu Hb dah okay, isu berat badan pula jadi masalah. So, aku ditugaskan oleh nurse untuk rekod bacaan tekanan darah kat rumah selang dua atau tiga hari selama dua minggu. Aku mula susah hati, dah dikirakan macam banyak hari je kena tinggal puasa demi baby. Selang dua minggu, check dengan doktor, tak ada masalah, alhamdulillah. Puasa pun tak banyak tinggal. Baby kuat je.

Sebelum bulan puasa lagi, aku ada berkira-kira nak buat busy book untuk Wildan. Sebab aku nanti tak boleh nak entertain dia sangat dah, lagi-lagi dah sarat nanti. Aku tak nak ajar dia lekat dengan ipad ke phone. Sebelum puasa je aku dah buat ipad withdrawal kat dia. So, bila ada masa, aku ajak suami aku keluar pergi Mr. DIY atau Daiso untuk cari bahan. Ada juga end up aku beli online. Minggu kedua dan minggu ketiga puasa, aku pulun buat page busy book. Haru sangatlah, sambil menjahit tu melayan Wildan. Nak mengamuk, dia bukan faham apa. Tabahkan hati je. Nanti ada masa, aku share gambar busy book dia. (tak jadi buku pun, jadi page je)

Pengalaman berpuasa tu, memang aku rasa agak mencabar. Ada masa-masa aku tak puasa sebab takut baby tak cukup makan, macam aku terlepas sahur dan bila ada sakit yang kuat dari biasa (rasa lemah atau lembik sangat). Dengan ada Wildan, masa banyak terisi nak melayan dia: ajak dia makan, ajak dia main. Wildan ni jenis makan nak berteman, melainkan dia lapar sangat, dia tak kisah dah. Kadang-kadang buat roti sampai kena buat dua, satu untuk dia, satu untuk ummi. Kalau tak buat, dia tantrum. Cakap aje kita puasa, tapi umur dua tahun nak faham solat pun cuma pada pergerakkan je, ni pulak puasa. Ada masa bila cakap kita puasa, dia tak hulur dah makanan. Ada masa dia sampai suruh makanan betul-betul masuk dalam mulut (mujur masa tu memang tak puasa).

Ada aku bawa dia pergi masjid solat terawih. Kalau tahun lepas, dia baru umur setahun, baru dapat kaki, tak lasak, sampai je masjid waktu tidur dah. Sekarang ada kaki, lasak, nak explore sana sini dan ada akal yang panjang. Dua rakaat tu dia bolehlah nak duduk diam ikut kita rukuk sujud, tapi temptation dia untuk join budak-budak lain main tu tinggi, biarpun dia paling kecik. Abah dia tak boleh nak khusyuk solat. Bila penat pandai pergi saf wanita sibuk cari ummi. Kali kedua bawa, pergi masjid yang jemaah perempuan kat tingkat atas. (Berbilik, ada pintu) Kat situ memang semua mak-mak dengan anak-anak penuh. Kesian kat Wildan tak ada geng. Sebab majoriti budak perempuan dan semua dalam lingkungan 4-6 tahun. Then kali ketiga, aku bawa sekali dengan MakSu Amanda dia. Masjid yang sama. Dia join geng MakSu dialah. MakSu dia baru 4 tahun. Hehe.

Bila balik kampung, Wildan memang mudah mesra dengan mak sepupu pak sepupu dia (cicit sulunglah katakan), walaupun dua ke lima minit pertama dia bergayut kat kaki ummi dia. Ada je member boleh buat main boboiboy ke main basikal ke main kejar-kejar, ummi ke abah ke dia memang tak ingat. Haha. Fitrah dia macam tu lagi.

Raya tahun ini kami beraya di Jengka. Setelah sekian lama, aku dapat tunaikan solat sunat aidifitri. (Biasa mesti ada kekangan untuk pergi masjid). Wildan pula, bangun-bangun tengok semua orang dah berbaju raya, mengamuk nak juga pakai. Ingatkan menangis marahkan apa, rupanya marah orang lain dah pakai baju raya. Tapi bila pergi beraya, dia punya pemalu, nak menepek je dengan ummi. Tak nak duduk atas lantai, nak beralaskan peha ummi juga. Ada mood, tak nak abah, nak ummi juga. Penat memang penat, tapi nanti dah keluar adiknya, dia tak dapat nak bermanja sangat dah. Aku pun seronok sementara anak nak bermanja dengan kita.

Begitulah kisahnya Ramadan dan Aidilfitri kali ini.
Satu pengalaman dan cabaran baru yang aku lalui.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Let's hear it from you.