Khamis, 15 Disember 2016

Big brother preparation

Assalamualaikum

Semenjak ada Mukhlis, Wildan sekarang seorang abang walaupun dia baru dua tahun dan masih perlukan perhatian. Pada aku, untuk usia dua tahun dia sangat memahami dan boleh diharap. Nakal dan tantrum tu masih ada sebab memang peringkat umur dia sifat-sifat ini ada.


Sepanjang mengandungkan Mukhlis dulu, aku selalu terfikir macam mana aku nak bahagikan masa melayan dua orang anak;  seorang yang boleh berlari ke sana ke mari dengan akal yang panjang dan seorang lagi yang perlukan perhatian penuh. Dan, pada masa yang sama aku terfikir macam mana nak ajar Wildan tentang tanggungjawab dan mengasihi adik dia. Baru aku sedar, susahnya jadi parents sebab aku tak rasa boleh manage seperti yang Ummi manage. 

Usia 2 tahun ni, dunia dia nak main dan perhatian je. Nak bagi dia faham banyak benda pun susah sebab level pemahaman masih cetek, yang dia tahu kalau seronok ketawa, kalau tak suka tantrum. Apatah lagi nak ajar dia erti tanggungjawab. Tapi, aku rasa Wildan dah bersedia untuk jadi abang. Bak kata incik suami, minta tolong dengan Allah tu yang penting. Sambil tu kita usaha juga sehabis baik kita. Pada aku sangat penting kita, sebagai mak ayah, menyediakan anak-anak untuk jadi abang atau kakak supaya tak ada nanti perasaan cemburu atau tidak puas hati di antara adik beradik or even deprived of attention. Biarpun masih kecik, kena ingat anak tu pun manusia, bukan objek yang tak ada perasaan. 

Aku nak share sikit preparation kami buat supaya Wildan ready untuk jadi abang:

1. Cerai susu badan.
Masa tahu mengandung tu, Wildan baru setahun sepuluh bulan. Kurang lebih lah. Mulanya aku nak susukan dia sampai cukup dua tahun, tapi aku terpaksa ceraikan awal sebab badan aku tak mampu nak sustain bagi nutrient kat Wildan dan baby dalam perut. Alhamdulillah proses cerai susu Wildan tak melibatkan tangisan tengah malam berminggu-minggu. Aku banyak pujuk Wildan elok-elok dan bila proses tu mudah aku yakin Wildan dah bersedia untuk jadi abang.

2. Sentiasa percaya pada anak
Walaupun Wildan baru umur 2 tahun, kami banyak bagi kepercayaan pada dia dari segi buat pilihan benda-benda yang mudah: pilih baju, pilih makanan, mandi. Bila pilihan yang dia buat tu tak kena atau tak sesuai, kami pujuk dan explain kenapa tak sesuai. Bab explain banyak suami buat sebab dia lagi hebat. Bukan bagi kepercayaan sepenuhnya, tapi bagi sikit-sikit supaya dia tahu yang kita acknowledge dia. So far, dia memang cerdik untuk buat pilihan. Bab makanan je payah sikit sebab kalau tak ikut memang tantrum berguling-guling. Kepercayaan untuk dia buat kerja-kerja sendiri pun kami bagi, biarpun dengan cara dia. Macam biasa, kawal benda-benda yang sepatutnya macam penggunaan benda tajam, benda yang beracun. Kami limitkan kepada benda yang dia boleh buat dan tak merbahaya.

3. Kenalkan adik
Dari perut tak ada sampai dah memboyot, kami pastikan Wildan tahu yang dia bakal ada adik. Dalam bahasa yang mudah difahami budak, kami bagitahu nanti ada baby atau dalam perut ada baby. Even sebelum baby keluar, bila beli barang baby semua kamu bagitahu dia yang itu barang baby. So, dia aware yang tak lama lagi akan orang baru. Adik aku siap ajar bagi salam kat perut. Haha. Sampai sekarang ada masa Wildan bagi salam kat adik dia. Bila dia dah tahu ada adik, nanti dah keluar baby dia tak terkejut sangat dan nak belajar sayangkan adik. Alhamdulillah, sekarang ni nampak ummi tengah dukung baby, dia beralih ke abah untuk bermanja dan sebaliknya. Cuma tak padan dengan kecik nak juga dukung adik. Dan ada masa dia nakal, sengaja nak cari pasal dengan adik yang mentang-mentang tak boleh gerak. Haha.

4. Ajar tanggungjawab yang mudah
Biasa yang kita ajar anak-anak, baca doa sebelum makan, basuh tangan sebelum makan dan lain-lain. Aku ajar juga lepas makan letak pinggan dalam sinki. Kalau mood Wildan tengah rajin, dia nak tumpang sekaki basuh pinggan. Tak bagi mahu dia mengamuk. Lagipun sementara dia nak buat, baik bagi nanti dah besar sikit, minta tolong pun payah. Aku google chores for kids, tapi taklah semuanya aku ajar. Mana yang aku rasa sesuai aku ajar macam kalau air tumpah ambil kain dan lap, atau kalau makan tumpah kena sapu. Ada masa dia buat dan ada masa tidak, kena terima. Dia memang akan buat cara dia, yang kurang memuaskanlah, tapi aku puas hati sebab lama-lama dia akan belajar. Sekarang ni banyak yang dia nak buat sendiri. Mana yang aku rasa sesuai aku bagi, yang mana tidak aku explain elok-elok.

5. Ajar konsep berkongsi dan mengalah
Bagi budak yang membesar yang selalu diberi perhatian dan dia seorang je budak kecil, kebanyakannya susah untuk berkongsi. Macam Wildan, walaupun paling kurang seminggu sekali bermain dengan MakSu dia, dia pun payah nak berkongsi juga sebab most of the time dia je budak kecik dalam rumah. Bab berkongsi dan mengalah ni dari dia mula bermain dengan budak-budak lain lagi kami dah ajar, lagi-lagi kalau barang mainan tu bukan barang dia. Abah Wildan suka tanya "tu siapa punya?" untuk remind Wildan yang dia tak boleh melampau-lampau bila main barang orang. Memang bila ramai saudara mara kat rumah, dia tak kisah nak share mainan dia tapi mainan masak-masak dia, kena main cara dia. Haha. Itu masih dalam proses lagi.

6. Isikan masa lapang anak
Nanti bila dah ada baby, mesti perhatian semua orang akan beralih pada baby. Sejak mengandung lagi ajar Wildan isi masa lapang dengan macam-macam aktiviti: melukis ke main lego ke main baca buku ke main kereta dia yang banyak dan banyak lagi. Sambil isi masa lapang, sambil develop kreativiti dia. Seronok tengok dia berimaginasi. Alhamdulillah, selepas Mukhlis lahir, Wildan pandai bawa diri. Bila dia bosan, pandai cari benda untuk main. Tapi biasalah, ada masa dia nak juga orang main dengan dia. So dia cari perhatian dengan minta telefon. Aku tahu itu cara dia ambil perhatian sebab kalau dia pegang telefon, dia dapat main lama so masa bosan dia terisi. Aku pulak tak suka nak gaduh-gaduh dengan dia bab telefon. Cara nak bagi dia terisi masa adalah dengan layan dia. Budak-budak ni cerdik dari yang kita sangka.

7. Ajar dia kawal tantrum sendiri
Bab ni memang payah. Masa dia mula start tantrum, dengan umminya sekali nak tantrum. Haha. Tapi sebagai orang yang lebih dewasa dan sepatutnya lebih pandai, aku belajar macam mana cara nak bantu anak bila tantrum. Ada aku baca, aku google dan ada juga tanya pada yang expert. Wildan masih lagi dalam proses belajar mengawal. Almaklumlah baru 2 tahun lebih. Ada masa nampak dia boleh kawal, ada masa tidak. Most of the time masih belum boleh. Kami pun masih mengajar biarpun kena repeat setiap kali dia tantrum. InsyaAllah lama-lama lekat.



Dia memang suka nak join masak, dan aku rasa sementara dia eager nak tolong, lebih baik kita bagi peluang. Nanti dah besar liat pula kalau tak bagi peluang. 

Sebenarnya masa sepanjang mengandung takpun buat list macam ni untuk prepare Wildan jadi abang, tapi aku banyak membaca melalui internet dan bincang dengan suami. Bila kami dah capai kata sepakat apa nak buat, kami buat. Bukan semuanya sekali gus. Sedikit demi sedikit dan tanpa sebarang expectation daripada Wildan. Yelah, budak baru umur 2 tahun yang hanya tahu bermain. Nak expect dia faham apa yang kita nak dari dia, memang miracle sangat. Hati dan minda dia masih segar dan perlukan benda-benda untuk diterapkan sama ada secara langsung atau tidak. So, berbalik kepada kita yang lebih tua dan lebih lama hidup dari dia untuk ajar.


p/s: Definisi nakal bagi aku ialah sifat budak-budak yang nak ikut rentak sendiri biarpun against apa yang kita bagi dan penuh dengan kebijaksanaan. Nakal is not a bad word. Nakal is cheeky. 






Khamis, 8 Disember 2016

Separation anxiety

Assalamualaikum

Biasanya aku dengar separation anxiety ni berlaku pada anak-anak yang sangat manja dengan mak ayah dia. Tak pasti pula kalau sebenarnya berlaku pada mak ayah. Hehe. Aku rasa aku ada separation anxiety.

Kenapa aku rasa aku ada separation anxiety?
Aku rasa payah nak bagi orang lain jaga anak aku. Biarpun Wildan tak kisah mana pun. Haha. Ummi dia yang melampau.

Dua minggu lepas, Wildan ikut nenek balik Terengganu lepas keluarga mertua aku pick up adik ipar aku yang sekolah kat Putrajaya. It was a last minute decision. Cuma dua malam je sebab Ahad tu ada majlis aqiqah Mukhlis. Tapi, dua malam pun, macam-macam juga aku terfikir. Dua hari sebelum tu, suami ada cakap MIL nak offer jaga Wildan kat Terengganu selama seminggu. Faham je nenek nak meluangkan masa dengan cucu. Bila Wildan balik KL, tak nak kat aku pulak. Seronok dengan makcik dia. Huhu.





Nampak tak seronoknya dia balik kampung? Haha. Main masak-masak mesti buat walau kat mana pun dia pergi.

Semenjak dah jadi stay at home mom (SAHM) ni, agak susah untuk aku berpisah dengan Wildan. Masa mula-mula balik dulu, sempat interview kerja tapi lepas kalut mencari taska, aku rasa lebih baik aku jaga dulu Wildan. Sebabnya aku jenis manusia yang sangat particular bab cara menjaga anak aku. Haha. Aku cerewetlah senang kata. Aku buat survey taska sampai tengok website JKM untuk garis panduan taska-taska berdaftar. Sempatlah aku buat list dan contact owner taska untuk tanya details macam-macam. At the end of the day, atas beberapa sebab termasuk sebab cerewet aku decide untuk tangguh dulu bekerja.

Apa yang aku cerewetkan?
Aku cerewet bila bab makan: too much sugar or junk food. Aku dengan suami memang pakat kalau boleh NONE OF THESE are allowed. Aku memang kurang gemar. Suami pun tak layan sangat. Most taska, bila ada sambut birthday budak akan dapat these kind of food. If possible, tak nak anak terlalu expose dengan makanan macam ni. Sekarang ni Mamee, gula-gula dengan aiskrim memang dia suka. Budak... biasalah kan. Bukan tak bagi langsung tapi kalau tak kawal, masalah juga. Wildan sekarang pun tahu yang Ummi Abah dia tak bagi dan kalau nak kena minta baik-baik.

Aku cerewet bila bab perkembangan attiitude anak: Wildan masih kecil. Masih banyak nak belajar. Banyak pengaruh luar yang akan pengaruhi dia. Yelah, otak dia masih kerja menyerap je macam-macam benda sama ada baik atau tidak. Dan lumrahnya manusia bila yang tak baik lekat pulak. Hurm. Aku pun bukan baik sangat tapi aku cuba yang terbaik untuk didik dia.

Aku cerewet bab layanan terhadap anak: aku tak manjakan 24/7 jam tapi tak garang 24/7 jam. Kami tak pernah naik tangan. Suami lagi hebat, tak pernah tinggi suara. Cuma suara tegas je. Paling hebat tak payah bersuara pun, cukup killer eye dia. Ummi dia ni tak payah cakap, silap mood, tantrum sekali dengan Wildan kadang-kadang. Aku kurang suka kalau anak aku dimanjakan sangat atau dimarah selalu. Cara handle dia kena cara aku dan suami buat. Buat masa sekarang. Semakin membesar, cara akan berbeza.

Ini antara cerewet yang aku boleh senaraikan. Lagipun, aku kalau boleh, nak anak aku ada character sendiri dan tak mudah terikut-ikut bila dia start taska atau tadika. Sejauh memori aku, adik beradik aku tak ada yang duduk taska sampailah umur 5 tahun. Yelah, ada maid kat rumah untuk jagakan kami sebelum masuk 5 tahun. Masuk 5 tahun baru menghadap dunia luar. Mungkin aku akan buat benda yang sama terhadap Wildan. Nak hire maid bukan tak boleh tapi rasanya baik aku sendiri jaga rumah sambil ajar anak tentang tanggungjawab dalam rumah. Aku dapat jaga rumah ikut cara yang aku nak dan besarkan anak ikut cara yang aku nak. Killing two birds with one stone. Haha.

Aku pernah cakap kat suami, "I'm a mother with a long list of all the rules of dos and don'ts when it comes to whoever taking care of my children". Yes, aku sangat cerewet. Dan Wildan pun sama. Haha. Mukhlis belum tahu lagi.

Cara membesarkan anak berbeza-beza. Aku hormat cara orang lain dan aku tak rasa cara orang lain salah sebab selagi yang baik untuk generasi akan datang, apa salah?

Jumaat, 25 November 2016

While in Russia III

Assalamualaikum

Mulanya aku nak buat entri pengalaman bersalinkan Wildan dua entri sahaja, tapi banyak sangat nak cerita jadi tiga pula entrinya. Hehe.

Kali ni cerita pengalaman duduk di hospital selepas bersalin. Memang paling minima duduk 4 hari. Aku tak pasti hospital lain macam mana tapi ikut cerita senior memang standard di sana. Lagipun budaya mereka anak hanya satu atau dua orang je. Tiga tu dah kira ramai sangat dah. Tak macam kita kat Malaysia, tiga tu paling sikit.

Lepas masuk ward, suami masih lagi dengan aku. Dalam setengah jam lepas tu, nurse datang dan bagitahu suami boleh balik dulu dan datang semula waktu melawat nanti (jam 4 petang hingga 7 malam). Suami pun balik dan terus berkejar ke embassy untuk tanam uri. Memandangkan waktu tu musim bunga, maghrib pun masuk dalam pukul 8.30 malam.

Tak lama lepas suami balik, nurse ambil baby untuk tukar bedung sebab bedung yang bidan pakaikan tu tebal, dua lapis. Then, nurse lain pula datang dan tanya sama ada aku boleh berjalan atau tidak. Bila aku kata aku boleh jalan, dia pun ajak aku pergi bilik patient lain. Aku rasa semua ni yang bersalin pagi tu juga. Nurse tu pun mulakan short lesson on how to handle your newborn. Dia ajar cara buka bedung, cara tukar lampin, cara cuci berak kencing, cara bedung, cara pegang untuk menyusu. I find it was very helpful. Yelah, aku tak ada pergi mana-mana kelas prenatal sepanjang mengandung. Dengan mak dan mak mertua jauh beribu batu, memang sangat membantu.

Itu cerita hari pertama. Aku cerita yang mana aku rasa menarik. Kalau tak panjang jadinya.

Hari kedua, pihak hospital serahkan semula baby selepas semalaman dipisahkan. Baby sihat. No jaudice. Cuma doktor concern pasal berat baby. Berat baby akan turun sikit selepas 24 jam dia keluar dari dunia rahim sebab nak sesuaikan diri dengan keadaan di luar rahim, tapi sebab baby aku paling kecil, doktor risau berat baby keep on decreasing. So, dia pesan kat aku untuk timbang berat baby sebelah pagi sekali dan sebelah petang sekali setiap hari. Dia siap letak satu penimbang baby dalam bilik aku.

Lepas lunch ada nurse datang dan suruh aku pergi bilik ultrasound di hujung koridor. Doktor check sama ada rahim betul-betul kosong atau tidak. Tak sampai lima minit doktor letak probe dan terus kata okay. Aku rasa aku terdengar bunyi anak aku menangis, aku pun berjalan dengan pantas ke bilik aku. Baby tidur nyenyak tak sedar apa pun. Perasaan aku je yang dengar dia menangis. Lagi-lagi satu tingkat penuh dengan baby, memang lagi senang aku terasa dia menangis.

Sebelah petang incik suami datang, bawak kurma untuk tahnik baby. Kami sempat video call dengan orang Malaysia. Malaysia dah malam, kami masih cerah. Baby pun kerja tidur je lagi.

Hari ketiga pula, pediatrician datang check baby. Cucikan tali pusat, bersihkan celah-celah pelipat baby. Lepas dah cuci apa semua, dia bagitahu yang dia akan cucuk BCG. Dia bagi secebis kertas. Atas kertas tu ada tulis pasal BCG, parut yang akan ada dan bila nak call doktor kalau something went wrong. Dia cucuk BCG kat nursery, so dia akan ambil baby sekejap. Yang aku rasa menarik adalah kertas explaination pasal BCG tu. Oh, dalam bilik siap ada kertas tampal kat dinding explain pasal pengecutan rahim dan recovery from c-section.

Petang tu, makcik kantin hantar makanan macam biasa. Biasa makanan yang ada lauk daging atau ayam aku tak makan sebab duduk tempat orang kan. Kadang-kadang tray makanan tinggal semalaman. Makcik kantin tanya aku, kalau dah habis makan hantarlah tray makanan sendiri. Lagipun kantin tak jauh, selang satu bilik je. Kat hospital ni, setiap aras ada kantin sendiri. Dia siap tanya aku boleh jalan atau tak. Cara makcik tu cakap macam dia marah, tapi memang gaya orang Russia bercakap nada macam nak marah.

Hari keempat adalah hari terakhir aku kat hospital. Waktu discharge pukul 1. Tak ada discharge sesuka hati. Discharge pun ada jadual juga. Aku dah siap pesan kat suami apa perlu bawa sebab sepanjang duduk kat hospital aku pakai baju hospital bagi dan memang setiap hari diaorang akan bagi sepersalinan baju untuk dipakai. Baby pun sama.

Pediatrician datang check baby for the last time, bersihkan celah pelipat dan cuci tali pusat. Doktor pakar pun ada datang tanya pasal keadaan aku. Ada aku sempat tanya itu ini pasal perubahan yang aku lalui. Semuanya terjawab. Pediatrician ada bagi nama ubat untuk cuci tali pusat baby dan sehelai kertas bertulis menerangkan pasal penjagaan tali pusat baby. Dia pun ada ambil darah baby. Ambil dari tumit. Pediatrician ada juga pesan, nanti dah balik rajin-rajin bawa baby berjalan hirup udara segar.

Dalam pukul 12.45 tengahari aku dah siap kemas. Nurse datang ambil baby. Aku jalan ikut nurse dari belakang. Tak ada makna kau dapat ditolak atas kerusi roda. Haha. Hari tu 4 orang ibu yang dibenarkan balik. So, ada dua orang nurse pegang baby dan seorang nurse bawak document kami semua. Sampai kat bawah, dekat ruang pelepasan (aku tak tahu dalam melayunya apa, tapi memang ada satu ruang untuk sambut ibu-ibu bersama anak keluar), nurse ambil barang dari suami masing-masing dah serahkan pada kami. Aku memang paling sempoi, setakat sarung jubah dengan tudung je. Yang lain baju grand habis siap sempat bermekap. Menariknya, ada satu baby ni, ayah dia bagi reben untuk nurse tu ikat pada baby.

Bila semua dah siap, kami semua dukung anak masing-masing dan nurse bukakan pintu. Bila dia buka pintu tu, aku rasa ... wah meriahnya! Haha. Meriah untuk orang Russia, dengan satu famili tunggu bersama photographer lagi. Ada belon, suami bagi sejambak bunga pada isteri, posing-posing ambil gambar. Seronok tengok diaorang. Sambut baby ni lebih kurang sekali seumur hidup je untuk diaorang. Itu yang meriah sungguh. Aku dengan muka sempoi, keluar-keluar nampak incik suami terus kami keluar. Haha.

Kami balik ke hostel naik bas juga. Hehe. Aku pakai tudung sarung jadi sorok je baby dalam tudung. Sebenarnya bukan nak sorok tapi hari keluar dari hospital tu panas terik berbahang. Nak pakai stroller baby kecik sangat, baby carrier mana ada lagi. Solusi terbaik adalah lindung baby dalam tudung. Masa naik bas, makcik-makcik Russia terkejut tengok aku tengah dukung baby dibalik tudung.

Selasa, 22 November 2016

While in Russia II

Assalamualaikum

To those yang baca last entri While In Russia I , ini sambungan part dua. Ada part tiga. Hehe.

16 Mei 2014, hari Jumaat.
8.30 pagi.

Pagi tu aku terjaga dari tidur dan terdengar macam ada bunyi meletup dari dalam badan. Bunyi perlahan tapi aku rasa lain macam. Terus aku kejut incik suami tanya sama ada dia ada dengar bunyi atau tak. Katanya tak ada pun. Aku terasa air mengalir keluar dan tanya suami katil basah ke tidak. Sekali lagi dia jawab tak. Dengan selamba aku bangun nak ke tandas, tiba-tiba terasa air keluar dengan banyak. Aku yakin tu air ketuban. Kelam kabut pergi tandas. Dalam kepala dok fikir nak call doktor, tapi air ketuban pecah dalam Russian aku tak tahu. Sempat google translate dulu. Haha.

Lepas dah call doktor, aku bersiap: bersihkan badan, gosok gigi apa semua. Aku pesan dekat incik suami untuk record timing bila aku cakap ada rasa sakit. Masa tu sakit selang setengah jam. Kami masih dalam keadaan tenang. Suami sempat pula tanya nak call ambulans atau teksi untuk ke hospital, sebab takut aku tak larat nak jalan. Aku buat pengiraan: kalau call ambulans, akan kena fill up form dan makan masa; kalau call teksi, nak tunggu paling sekejap 5 minit dan bayaran minima 450rubel. Akhir sekali, aku cakap pergi nak bas macam biasa, jimat duit dan jimat masa. Nak pula hospital sekadar dua stesen je dari asrama.

Dalam pukul 9.15 pagi kami dah siap dan mula bergerak ke bus stop. Masa tu sakit dah mula selang 5 minit. Kejap-kejap aku genggam erat tangan suami. Bila sakit kami berhenti sampai aku boleh bergerak semula. 9.15 pagi tu boleh kata peak hours untuk students yang ada kelas jam 10.45 pagi. Dengan aku bersarung jubah dan berbadan kecik, nampak macam tak ada apa-apa pun, walaupun tengah tahan sakit. Sampai di bus stop, ada bas baru sampai. Sebelum naik bas tu ada sakit sekali. Memandangkan tengah peak hours, bas agak penuh dan aku buat keputusan untuk berdiri je.  Dalam bas pun ada sekali sakit datang. Jarak dari asrama ke hospital hanya lima ke sepuluh minit. Bila dah sampai, aku turun dari bas dan sakit datang lagi.

Lebih kurang 9.30 pagi, aku masuk ruang pendaftaran. Aku telefon doktor untuk maklumkan aku dah sampai. Doktor terus datang dan bagi sepersalinan baju untuk aku pakai. Suami terus pergi ambil result x-ray: jauh sikit dan memakan masa 45 minit pergi balik. Doktor check dan katanya bukaan dah separuh. Ada sejam agaknya aku kat ruang pendaftaran tu, nurse ukur-ukur pinggul, ukur berat, ukut tinggi, check tekanan, ambil darah dan bagi ubat buang air besar. Lepas tu, dia bawa aku ke aras bersalin. Tapi belum pergi labour room, pergi bilik ultrasound dulu.

Ini antara kenangan yang aku tak boleh lupa. Doktor check keadaan baby melalui ultrasound. Tengah-tengah doktor check, datang sekumpulan students bersama lecturer mereka. 5 orang students perempuan dan seorang lecturer usia dalam 60-an. Mujur semua perempuan. Aku jadi bahan contoh untuk pengajian mereka. Sempat aku dengar lecturer dia explain umbilical cord baby yang mana: amniotic fluid yang mana, cara ukur saiz baby macam mana. Ada 10 minit aku terbaring sambil dengar lecture. Masa tu sakit datang je, memang aku mengerang juga. Dah tak peduli dah students tu tengok aku. Ada seorang ni muka dia penuh simpati tengok aku tahan sakit.

Selesai je diaorang belajar, doktor suruh aku bangun dan pergi ke labour room. Sendiri. Haha. Aku terkejut tapi aku gagahkan juga. At the end, ada seorang nurse pimpin aku. Labour room tak jauh pun, kalau tak sakit seminit dah sampai, tapi dengan keadaan aku masa tu, mahu jadi sepuluh minit.

Dalam pukul 10.50 pagi atau 11 pagi, aku dah masuk labour room. Masa tu ada bidan dan nurse. Diaorang tengah bersiap. Suami pula call tanya nak masuk labour room refer pada siapa. Serius, kalau suami cerita balik memang aku gelak sebab dia kata dia tak faham apa aku cakap, yang dia dengar aku dok tarik hembus nafas je lebih. Haha. Memang aku tak boleh nak bercakap sangat. Sakit dah semakin kerap. Bila doktor aku sampai, aku terus cakap yang suami tengah tunggu kat bawah untuk masuk.

Bidan suruh aku baring mengiring atas katil. Aku pun baring. Setiap kali sakit datang, aku tahan. Bidan ada cakap something, tapi aku tak sempat nak brain tengah-tengah sakit tu. Ada setengah jam aku menahan sakit. Lepas tu incik suami muncul. Dia terus pegang tangan aku dan bisik suruh aku istighfar dan ingat Allah. Memang aku hilang keruan sekejap sementara dia tak ada, aku menahan sakit sambil mengerang. Kata incik suami, bila dia sampai the whole floor was filled with my voice. Bila dia suruh istighfar, aku tenang sikit, dan mula baca doa nabi Yunus. Suami kata bidan suruh teran bila sakit datang. Agaknya yang bidan dok sebut-sebut kat aku tu suruh teran. Haha.

Sepuluh minit kemudian, bidan check jalan dan suruh aku beralih ke katil bersalin. Maka aku pun beralih. Aku tak ingat aku dipapah atau bangun sendiri, tapi suami kata aku bangun sendiri. Bila dah beralih, sakit datang lagi dan kali ini memang aku cakap kat suami aku rasa tak mampu. Suami terus bagi semangat. Dalam dua kali sakit, tepat jam 11.50 pagi, aku dengar bunyi baby menangis memecah sunyi aras bersalin tu. Baby terus diletakkan badan aku. Terkesima, terharu, sedih.... semuanya. Pedatrician pun ada dan dia terus tolong ajarkan baby minum susu badan. Lepas tu, doktor bagi suami potong tali pusat (dalam contract memang suami dapat privilege untuk potong tali pusat). Bidan ambil baby dan terus bedungkan. Selesai bidan bedung, dia serah baby pada suami. Suami pun ambil dan terus azankan dan baca doa.

Doktor masih ada, tunggu uri pula keluar. Masa tu baru aku tahu uri keluar kemudian dan sakit lebih kurang nak bersalin. Bila uri dah keluar, mak bidan dan doktor check dan katanya tak perlu jahit, hanya sapu iodine. Aku tak faham apa-apa, tengah penat, nak digest apa yang diaorang tengah cakap aku tak daya. Aku tahu pun sebab incik suami yang bagitahu. Bila check rahim dah kosong, nurse pun letak beg thermos berisi ais atas perut. Menggigil aku kesejukan. Ais kot. Masa tu suami dah mula bagi khabar pada orang Malaysia dan classmates.

Incik suami maklumkan pada bidan yang kami nak bawa balik uri. Mujur bidan tak kisah. Dia cakap diaorang bukan buat apa pun, diaorang pun buang je. Sambil dia mengemas bilik tu, dia sempat tanya uri tu nak buat apa? Tanam dalam tanah dan letak pokok atasnya ke? Aku dengan suami gelak. Comel je rasa soalan dia.

Kami tunggu di labour room dalam satu jam sebab bilik siap kemas pukul 1 tengahari. Sambil menunggu tu, baby masih dengan aku, belajar minum susu. Pedatrician ada inform yang baby akan duduk nursery 24 jam untuk pastikan baby memang sihat. Almaklumlah baby paling kecil. Kalau ikut contract, ibu akan dapat tidur bilik single bersama baby, tapi mungkin pihak hospital nak pastikan baby memang sihat betul baru boleh tidur dengan ibunya. Tepat jam 1 tengahari, aku diusung ke aras postnatal. Baby masih dengan aku, dan pihak hospital akan ambil sebelah petang. Selesai semua urusan, suami gerak balik sebab waktu melawat mula 4 petang dan suami nak pergi tanam uri.

Panjang lagi nak cerita sebab lepas bersalin aku kena duduk hospital 4 hari. Memang dalam contract dinyatakan sebegitu. Kalau c-section, 6 hari kena stay. Unless ada apa-apa masalah, lagi lama diaorang akan tahan. Sepanjang 4 hari tu, banyak yang aku belajar. Walaupun incik suami hanya boleh melawat dari jam 4 petang hingga 7 malam, better daripada tak boleh melawat langsung. Alhamdulillah, baby sihat dan tak jaundice.

Jumaat, 18 November 2016

While in Russia I

Assalamualaikum.

Aku masih dalam mood sharing dengan pembaca. So, aku nak share pengalaman bersalinkan Wildan di Bumi Soviet dulu. It was almost three years ago.

Pengalaman aku bersalinkan Wildan dan Mukhlis memang berbeza: dari segi tempat, cuaca dan suasana.

Ini bahagian satu dulu: perjalanan sepanjang mengandung. Aku nak share sebab sepanjang mengandungkan Wildan banyak benda yang aku belajar dan procedure kat Russia lain.

Bila tahu mengandung, kami tak tahu menahu mana nak cari klinik untuk buat check up. Kami rujuk pada senior yang berpengalaman. Jadinya pergilah ke klinik swasta yang disarankan. Senang. Masa tu baru 8 minggu macam tu. Pergi sekadar untuk confirmkan je. Klinik tu ada buat kontrak (pakej check up) mengikut trimseter. Nak mula dari trimester satu atau dua atau tiga. Bayar lump sum dan ikut je jadual check up doctor bagi. Kami buat keputusan untuk mula trimester kedua sebab rasa trimester pertama tak perlu nak check apa sangat. Tak ambil pakej pun tak jadi masalah cuma setiap kali check up kena bayar dan mahal sebab dalam pakej dah ada potong-potong harga sana sini.

Alkisahnya, bila kami dah sign contract, nurse pun ambil darah hampir 6 botol (yang hospital selalu guna tu - tak tahu namanya). Satu botol dalam 5 ke 10 ml kot. Aku tak takut darah atau jarum, tapi lepas ambil darah tu aku pengsan. Aku tersedar pun sebab bau ammonia dan suara suruh aku buka mulut (dalam Russian). Aku memang jenis low blood pressure dan pernah pengsan sebab kurang gula. Incik suami kata, aku kena seizure for about 1 minute. Itu yang kecoh suruh buka mulut. Aku sendiri terkejut aku boleh pengsan lepas kena ambil darah. Yang paling terkejut kena seizure tu. Hurm.

Kenapa dia ambil darah banyak? Untuk buat test macam-macam. Test viruslah, test penyakitlah, testlah senang kata. Aku dah tak ingat sangat tapi antara salah satu test adalah test down syndrome. Menarik tak? Bukan sekali je ambil darah, almost setiap kali check up tapi yang paling banyak hanya sekali tu. Selebihnya dalam satu botol je. Result siap doctor email kat incik suami. Entah ada lagi tidak dalam email dia.

Doktor aku nama Yulia. Nak cerita teliti tak teliti dia, masa minggu ke13 atau ke14, bacaan thyroid aku tinggi dari normal, jadinya doctor suruh aku jumpa endocrinologist. Memang pergilah jumpa pakar, siap ultrasound kat thyroid gland dan consult doctor. Then follow up masa minggu ke25 tak silap. Tak ada masalah apa pun, just mungkin aku naik alahan dan muntah-muntah bila masuk trimester kedua bukan masa trimester pertama.

Masuk minggu ke29 atau ke30, masa pergi check up, doctor tengok scan ultrasound dia suruh aku masuk hospital. Dia call ambulans terus. Itulah pertama kali aku masuk labour room kat Russia. Memang ada bleeding and opening sikit bila doctor check. Scary sangat tengok darah kat tangan doktor masa tu. Aku dah nak nangis dah. Risaukan baby dan sedih sebab suami tak boleh masuk. Sempat satu malam duduk bilik menunggu. Hospital tu hospital bersalin dan setiap satu aras tu khas untuk berbeza keperluan: aras bersalin, aras postnatal, aras prenatal. So, bilik yang aku duduk tu bilik menunggu untuk masuk labour room. Satu malam tidur tak lena sebab bunyi orang mengerang nak  bersalin. Ada dalam tiga atau dua kelahiran malam tu. Aku sempat juga tengok orang bilik sebelah buat epidural. Oh, bilik antara bilik berdindingkan cermin, itu yang boleh tengok.

Bila dah 24 jam tak ada tanda aku akan bersalin, aku dihantar ke aras prenatal selama dua malam. Incik suami memang tak boleh melawat langsung. Ini memang rules mana-mana hospital kat Russia. Tak boleh melawat. Pass barang je boleh. So, lunch dan dinner incik suami drop kat kaunter bawah je. Bila dah discharge, aku call doctor aku untuk inform. Dia terkejut hospital discharge aku awal sebab aku perlukan paling kurang seminggu kat hospital. Masa ni aku memang blur kenapa aku perlu duduk ward. Memandangkan itu hospital kerajaan, diaorang hanya boleh tahan aku paling lama tiga hari sebab aku foreigner.

Selepas seminggu pergilah klinik macam biasa untuk check up. Doctor pun explain yang aku ni short cervix dan suspected premature birth. Since aku pun tak ada komplen sakit, dia bagitahu yang aku perlu banyak baring dan tak boleh banyak bergerak. Ayat dia "baring sahaja, bangun bila pergi tandas je". Tapi.... Tapi.... Tapi aku ada dua tiga lab yang nak dihadiri, adalah seminggu dua pertama lepas dia explain aku masih pergi kelas. Hehe. Lepas tu aku minta dia buat surat untuk aku bagi kat semua lecturer. Alhamdulillah, everything went good. Aku pun taklah betul-betul terbaring je, solat aku solat berdiri je, ada masa bosan melampau aku kemas-kemas sikit bilik. Hehe.

Tiga minggu lepas tu, doctor call lagi ambulans masa check up. Sebab berdasarkan gambar ultrasound, cervix pendek sangat. Takut terberanak katanya. Cuma kali ni pergi hospital lain yang berbayar sebab nak bagi dapat treatment betul-betul. Mulanya tiga malam tapi masuk hari ketiga, doctor kat hospital tu explain pasal condition aku yang memang perlukan lagi masa di hospital untuk pemerhatian dan ubat. Setelah berbincang, kami buat keputusan untuk tambah dua malam sahaja. Kalau ikutkan doktor minta tiga malam, tapi atas sebab tertentu, tambah dua malam je. Masa ni lagi sedih sebab lima hari suami tak boleh melawat. Huhu. Mujur patient lain yang satu bilik dengan aku suka berborak dengan aku, biarpun Russian aku tunggang langgang. Hari aku masuk hospital snow masih ada, hari aku keluar dah kering kontang snownya. Haha.

Contract kami dengan klinik habis bila pregnancy aku masuk minggu ke-36. Doctor ada suggest untuk pergi hospital yang link dengan klinik dia tapi sebab kami dah survey habis-habisan dan kami decide untuk pilih hospital yang berdekatan dengan hostel. Pilih bukan sebab dekat je, sebab hospital tu memang ranking top 5 yang ada pakej bersalin berbayar dan benarkan suami masuk labour room dan boleh melawat. Ini hospital yang aku first warded.

Kami buat survey melalui internet. Memang ada website senarai hospital bersalin seluruh Moscow. Memang semua detail dan harga ada. Baca review semua okay. Lagipun hospital ni hospital kerajaan tapi ada pakej berbayar untuk mereka yang nak privilege. Macam kami, sebab foreigner. Hehe. Kami pun dah sign contract dengan hospital masa minggu ke34. Sama macam klinik, bayar lump sum terus masa sign contract. Untuk bersalin normal dan c-section harga sama. Doktor pun boleh pilih dan boleh contact hospital sampai selama 30 hari selepas bersalin.

Bermulalah check up dengan hospital selama sebulan. Check up every week. Untuk membolehkan incik suami masuk teman masa bersalin, kena buat x-ray dan serahkan pada hospital sebagai bukti yang suami sihat dan tidak bawa penyakit. Mujur hospital lima minit je dari hostel (naik bas). Jalan kaki adalah dalam 10-15 minit. Dekatlah senang kata.

Masuk minggu ke-40, check up dengan doctor pada tarikh 13 Mei 2014. Based on ultrasound, doctor kata baby masih kecil. Berat pun 2.5kg lagi. Dia kata due date berganjak ke tarikh 28 Mei. Suami pula belum ambil result X-ray. X-ray buat kat hospital lain sebab hospital ni hospital bersalin, tak buat x-ray. Kami pun bila dengar lambat lagi, relax jelah bila 15 haribulan menjengah. Bag hospital semua dah prepare sebab pengalaman dua kali masuk hospital sebelum ni.

Memang bila 15 haribulan tu kami dua-dua relax. Tak ada tanda apa pun. Aku yang first time mengandung masa tu pun relax sebab doktor cakap lambat lagi. Haha. Masa tu musim bunga, subuh masuk awal. Biasa kami tidur lepas solat subuh sebab takut terlepas. Subuh dalam pukul 2.30 pagi. Aku akan tidur dalam pukul 3 lebih. Pagi 16 haribulan, jam 8.30 pagi aku terjaga dan aku terasa ada bunyi meletup dari dalam badan. Air ketuban pecah. Then, the journey begins!

Cukup panjang dah entri kali ni. Kena sambung bahagian dua pula. Terima kasih sudi baca panjang-panjang.

Ahad, 13 November 2016

My style of pantang

Assalamualaikum

Hari ini genap 30 hari aku bersalin. Cerita kali ini pasal pantang.

Aku berpantang boleh dikategorikan sebagai pantang moden. Ummi dan Ibu (MIL), dua-dua tidak strict mana dalam berpantang: dari segi pemakanan mahupun bab jamu-jamu.

Antara perkara yang aku buat masa pantang:

1. Minum air akar kayu.
Masa first time berpantang dulu, Ummi siap pesan kalau rasa payau atau pahit campur sikit dengan madu. Bila try minum, rasa dia okay je. Campur madu bagi ada rasa, sebab pada aku rasa dia kosong. Hehe. Air akar kayu ni kalau ikut adat berpantang paling sekejap 44 hari berpantang tak silap, tapi aku habiskan satu paket je. Tahanlah 30++ hari.

2. Sapu minyak herbanika Nona Roguy dan pakai bengkung.
Ummi yang belikan bengkung masa aku mengandungkan Wildan dan pos ke Russia. Aku agak teruja masa Ummi whatsapp cerita dia nak belikan bengkung. Entah kenapa aku teruja tapi lepas bersalin, pakai bengkung buatkan aku rasa selesa. Mungkin sebab selama mengandung perut padat. Haha. Ummi belikan bengkung tradisional dan aku terpaksa google untuk cara pakai. Bengkung ni juga aku pakai pergi exam lepas dua minggu bersalinkan Wildan. Minyak Nona Roguy pun Ummi belikan dan dipos. This time around, aku beli dan tambah krim barut. Best!

3. Seminggu pertama aku rehat sehabis baik.
Kenapa seminggu pertama je? Sebab aku tak boleh nak tahan sangat tengok keadaan rumah. Bukanlah tak ada orang nak buat kerja, cuma kadang-kadang cara kerja dan perlaksanaan tu tak sama dengan cara aku. Hehe. Semua yang berat aku masih serah pada orang.

4. Tidur waktu baby tidur.
Automatically aku jadi baby sekejap sebab join dia tidur. Masa lepas bersalinkan Wildan ada dekat dua minggu pertama aku jadi macam baby, tapi lepas bersalinkan Mukhlis kali ni, aku jadi baby dua tiga hari pertama je.

5. Berurut.
Ini masa bersalinkan Wildan memang tak buat sebab duduk tempat orang. Aku memang suka berurut dari zaman bujang. Cuma kesal sikit masa berpantang anak sulung tak sempat nak buat. Sebelum bersalin aku dah buat survey sejak tahu short cervix, sebab takut terbersalin awal. End up aku ambil tukang urut dari kedai spa belakang rumah je. Spa ni pun guna produk Nona Roguy, itu yang buat aku berminat plus siap bertungku dan mandi herba. Hehe.

Personally, berurut lepas bersalin banyak membantu sebab pengalaman aku yang tak berurut lepas bersalinkan Wildan dulu, sepanjang aku mengandung kali kedua aku sakit pinggang. Dari perut tak ada sampailah memboyot. Aku tak boleh berdiri lama, aku tak boleh buat kerja rumah banyak, sedih sangat rasa. 9 bulan mengandung, hampir 9 bulan juga aku sakit pinggang.

Basically inilah my style of pantang. Bab makanan aku jaga dari segi makanan yang berminyak, buah dan sayur exotic, air sejuk dan berais. Yang mana aku rasa tak boleh, aku cuba elakkan. Masa kat Russia, tanya doktor makanan apa yang tak boleh makan dan jawapan doktor simple, kalau baby okay, then it's okay to eat. Haha. Ummi dan Ibu pun cakap benda yang sama, kalau baby kembung atau nampak tak kena, check apa yang aku makan.

Aku kalau boleh berpantang tak nak sampai menyusahkan orang sebab both Ummi dan Ibu masih bekerja dan suami pun bukan boleh cuti lama-lama. Mujur sepanjang pantang Wildan tak ada meragam macam sebelum bersalin. Dia nampak aku tak boleh layan dia, dia cari orang lain untuk minta buat susu ke nak bermanja. Wildan pun pandai bawak diri bila bosan sama ada melukis atau main masak-masak offer masakan dia.

To me, nak berpantang style macam mana ikutlah, asalkan bagus untuk kita dan baby. Aku buat survey juga pasal pantang ni dan bermacam jenis aku jumpa mengikut budaya dan adat. Pernah juga terfikir kalau bukan orang Melayu, bukan di Malaysia, agaknya macam mana budaya berpantang diaorang?

Jumaat, 11 November 2016

Losing the baby weight

Assalamualaikum

Apa itu baby weight? Aku tak tahu apa frasa yang sesuai dalam bahasa melayu, berdasarkan pemahaman aku baby weight ni adalah jumlah berat badan sepanjang mengandung. Bila mengandung, badan orang perempuan akan berkembang untuk menampung baby. Baby weight ni bukan 100% berat baby, ada juga berat air ketuban, berat badan ibu yang naik dan banyak lagi.

Pengalaman aku mengandung dua kali ni, jumlah berat yang naik tak pernah naik sampai 15kg. Aku tak pasti bagus ke tidak sebab Ummi mengandungkan aku naik berat badan almost double katanya. Masa mengandungkan Wildan jumlah berat yang naik 12kg. Dan masa Mukhlis baru ni pun cuma 10kg. Lagipun dua-dua hero lahir bawah 3kg. Comel-comel belaka.

Alhandulillah, selepas bersalin (dua-dua anak ni), aku hilang baby weight dalam masa dua ke tiga minggu. Cuma masa lepas bersalinkan Wildan, bukan baby weight je hilang, berat badan aku sebelum mengandung pun turun. Dan aku tak boleh nak naikkan balik sampailah mengandungkan Mukhlis. Wildan memang kuat menyusu. Mukhlis pun sama.

Macam mana aku boleh hilangkan baby weight dalam masa dua minggu? Secara jujur aku tak ada teknik mahupun amalan khusus. Mungkin sebab usia, mungkin sebab anak-anak lelaki, mungkin sebab cara pemakanan, banyak mungkin. Aku sendiri tak boleh nak kata mana sebabnya.

Aku share sikit apa yang aku buat sepanjang mengandung dan selepas bersalin.

1. Masa mengandung makan bukan untuk dua orang tapi makan untuk tambah nutrient.

Aku jumpa article dari pinterest pasal ni. Orang dulu-dulu selalu kata "bila mengandung kena makan untuk dua orang". Biasanya kita faham portion makanan kena double. Yes, memang selera makan bertambah masa mengandung tapi tak bermakna kita kena doublekan portion makanan kita. Aku bukan pakar nutrisi untuk bercerita panjang lebar bab ni, tapi boleh refer mana-mana pakar. Aku jenis yang makan sekadar yang cukup (tak kenyang dan tak lapar), bukan sebab diet tapi sebab aku tak suka bila perut penuh sangat dan tak selesa dengan keadaan macam tu. Bila mengandung kita makan untuk tambah nutrient dalam badan untuk bagi nutrient pada baby dalam badan. Lagipun berat baby akan naik sikit-sikit dan ada graf dia. Tak semua yang kita makan pergi pada baby dan peratusan berat baby sikit je.


2. Elakkan makanan yang membahayakan baby dalam perut.

Boleh check online atau tanya doktor atau orang berpengalaman untuk bab makanan yang tak boleh dimakan sepanjang mengandung. Ada sebab kenapa makanan-makanan ni tak dibenarkan. Aku memang banyak berjaga-jaga masa mengandung. Even terliur nak pun, aku cari alternatif. Hehe.


3. Lakukan aktiviti harian seperti biasa masa mengandung (kena ada nasihat doktor)

Masa mengandungkan Wildan memang aku sempat coach netball sekejap. Dan... aku jenis kuat window shopping, so memang aktiviti window shopping aku suka buat paling kurang sebulan sekali, sejam ke dua jam (sampai sebelum bedridden). Incik suami sangat baik sebab sudi teman. Haha. Lepas tu dia buat lawak reaction aku tengok barang. Aku pergi kelas pun macam biasa, hadap sesak pagi, berjalan selama 15-20 minit ke kelas, naik tangga sampai 4 tingkat. Haha. Masa mengandungkan Mukhlis pun sampai sebelum bedridden aku sempatlah lasak tapi tak lama sebab sakit pinggang teruk. Cuma bila masuk trimester ketiga ada short cervix, nak tak nak kena rehat je. So, aktiviti harian ini bergantung pada individu. Ada yang sehari sebelum bersalin pun masih gagah, ada yang tiga bulan sebelum bersalin dah kena rehat atau warded hospital.


4. Keep track kenaikan berat badan.

Aku akan check berat badan seminggu ke dua minggu sekali. Lepas musim alahan, berat badan aku naik mendadak sangat. Berlaku pada dua-dua pregnancy. Dan memang kena warning dengan doktor. Hehe. Sekali je naik berat badan mendadak sepanjang mengandung, mungkin sebab lepas habis alahan barulah sedap nak makan. Aku check juga kenaikan berat badan baby. Masa kat Russia dulu, bila dah masuk minggu ke-24 tak silap, dua minggu sekali check ultrasound dan aku akan check (online boleh cari) the ideal weight of baby during that week. Even aku punya weight increase pun aku jaga sebab aku kategori normal to underweight. Masa Wildan BMI normal sipi-sipi (sikit lagi nak underweight) sebelum mengandung tapi masa Mukhlis BMI aku underweight. Pertambahan berat badan sepanjang mengandung akan berbeza ikut BMI.


5. Lepas bersalin berpantang sebaiknya.

Aku akan share pasal cara aku berpantang. Sejujurnya aku tak ikut 100% gaya orang dulu, tapi masih berpantang juga. Tapi aku percaya penjagaan sepanjang pantang sangat memberikan kesan jangka masa panjang. Masa pantang aku suka sapu minyak herbanika dan pakai bengkung selama dua minggu ke sebulan. Memang favourite sangat buat ni. Even aku terpaksa keluar lepas dua minggu bersalin, aku pakai juga bengkung atas nasihat Ummi.


6. Menyusukan anak sekerap yang boleh.

Breastfeeding sangat membantu walaupun sakit sikit. Ibu-ibu yang menyusu mesti tahu bila menyusu sakit rengat rahim ada masanya sangat kuat. Sebab bila baby menyusu, ada hormon yang dikeluarkan untuk mengecutkan rahim. Since anak dua-dua lelaki, memang sangat kuat menyusu. Sakit rengat ni biasanya seminggu je. Kena tahan sikitlah demi anak dan diri sendiri. Sambil tu, menyusu badan mengeratkan hubungan antara anak dan ibu. Anak dua-dua hero, lepas tu muka kopikat ayah, ayah pula jenis suka main dengan anak-anak, aku garang, so inilah peluang aku merapatkan hubungan. Haha.


7. Senaman ringan selepas bersalin.

Based on capability body. Aku bukanlah kaki bersenam tapi aku susah nak duduk diam sikit. Aku berpantang memang minggu pertama yang aku rehat tak buat apa, jadi baby. Masuk minggu kedua aku akan mula buat kerja-kerja ringan dalam rumah. Yang dalam rumah ye. Setakat basuh pinggan, lipat baju, sapu lantai sikit. Kerja-kerja aku mampu. To me, that is part of exercise. Hehe. Masuk minggu ketiga upgrade sikit. Jangan push diri bila penat. Aku pun ada hari terbaring lesu sebab rasa badan tak larat. Cuma aku memang tak keluar rumah sampai 30 ke 40 hari selepas bersalin. Kalau terpaksa keluar pun pergi klinik sahaja dan mesti pakai bengkung. Lasak-lasak pun, dalam rumah. Bab bersenam ni tak sama untuk semua orang. Aku bersalin normal dan tak jahit. Alhamdulillah recovery tu cepat. Dan, aku suka buat kegel excersice. Lepas dua minggu, aku get back buat kegel.


So, inilah antara benda yang aku buat semasa dan selepas mengandung. Nothing special. Apa-apa refer doktor dulu ye sebab badan semua orang lain-lain.

Ahad, 6 November 2016

Haemoglobin rendah

Assalamualaikum

Dua kali mengandung, dua kali juga bacaan haemoglobin turun. Turun tak rendah sangat, tapi below average reading.

Masa kat Russia dulu, doktor sarankan aku makan buah delima, sama ada beli buah atau beli jus. Kat sana taklah susah sangat nak jumpa buah delima. Harga sebiji untuk kos sara hidup yang tinggi di sana, harga mampu beli. Kadang-kadang kami beli jus delima tapi kena cari yang betul-betkul pure dan mahal daripada beli buah. Ada masa kami pergi pasar, jumpa buah delima, kami beli. Alhamdulilah, bacaan Hb back to normal.

Masa kat Malaysia pula, doktor tambah ubat iron. Cumanya masa kat Malaysia, dua kali bacaan Hb drop. Masa transition trimester pertama ke trimester kedua dan selepas baik demam denggi. Alhamdulillah bacaan Hb tak drop teruk, cuma below average dan kena banyak pengambilan makanan tambah darah.

Sejak tahu mengandung kali kedua, Ummi sarankan aku ambil Pomesteen. Pomesteen ni salah satu produk keluaran Forever Living yang mengandungi campuran buah delima dan manggis serta beberapa buah beri. Bahan utama dia memang buah deima dan manggis. Sejak aku balik dari Russia lagi dia suruh aku minum air pomesteen ni sebab bagus untuk kesuburan dan membantu masalah berkaitan dengan orang perempuan. Ini antara khasiat ambil pomesteen. Pomesteen ni juga kaya dengan antioxidant yang mana semua orang maklum sangat bagus untuk badan kita.


Air dia agak concentrated dan saranan minum dengan campuran air masak. Memang pekat dan masam tapi air dia tak ada pemekat atau bahan pewarna. Aku minum pomesteen tak disiplin sangat. Seeloknya setiap hari paling kurang sekali. Tak banyak pun, cuma 30ml je sekali minum. Tapi, aku kadang-kadang lupa dan bila balik kampung memang tak minum. Bagus sangat pomesteen ni. Alhamdulillah, adik aku yang selalu kena senggugut dah semakin kurang senggugut.

Banyak testimoni pomesteen ni aku jumpa dari segi kesuburan, masalah senggugut, tambah darah dan juga masalah baby jaundice. Baby tak minum tapi maknya. Aku pun masa Mukhlis ada jaundice walaupun sikit, aku tambah intake pomesteen dari sekali sehari kepada dua kali sehari. Alhamdulillah banyak membantu semasa dan selepas mengandung.

Sumber gambar: Google

Lagipun kandungan pomesteen ni buah-buah yang tinggi nilai ORAC. ORAC adalah nama panjang Oxygen Radical Absorbance Capacity. Nilai ORAC atau ORAV value ni penanda aras sebagus mana antioxidant menghalang kerosakan radikal bebas. Aku tak pandai nak explain pasal ORAC ni, so adalah lebih baik google je. Pendek kata, buah-buah campuran dalam pomesteen ni sangat bagus untuk badan tak kira lelaki atau perempuan.

Aku bagi contoh perempuan sebab aku sendiri perempuan dan kebanyakan feedback aku dengar dari perempuan. Tak bermakna orang lelaki tak boleh minum ye. Semua orang boleh minum. Termasuk budak kecil. Wildan pun kadang-kadang nampak aku minum, dia minta juga. Hehe.

Aku tak kata 100% sebab pomesteen boleh bantu kesihatan, ini cuma sebahagian daripada usaha kita ke arah kesihatan yang lebih baik. Selebihnya Allah yang tolong. Tak salah kita berusaha selagi ada cara dan ruang.

Kalau ada yang berkenan nak beli Pomesteen ni bolehlah mesej aku. Satu botol tahan dalam dua minggu, bergantung pada kekerapan minum. Paling minima sekali sehari 30ml. InsyaAllah boleh membantu kesihatan dari pelbagai sudut.

Rabu, 2 November 2016

Another hero was born

Assalamualaikum

Alhamdulillah, sekarang aku dah jadi mak kepada dua orang hero. Hari ni aku kongsi sikit pengalaman bersalinkan adik Wildan. Alhamdulillah, proses berjalan dengan lancar.


14 Oktober, Jumaat.

Hari itu sama macam hari yang lain. Bezanya, incik suami bawa Wildan keluar tengahari itu selepas solat Jumaat. Aku pula sakit pinggang. Memang biasa sakit pinggang, cumanya sakit pinggang hari tu kuat dari biasa dan selepas berehat selama dua jam, sakit masih ada. Malam tu pula ada appointment doktor di KPMC jam 8 malam. Aku kuatkan diri dan rasa sakit berkurang walaupun masih ada.

Usai solat Maghrib, kami terus ke KPMC. Biasanya Wildan akan ikut tapi atas nasihat Ummi, selepas aku mengadu sakit pinggang, Wildan tinggal di rumah. Susah sebenarnya nak tinggalkan Wildan. Kebetulan Ummi tempah satay dan nak keluar pick up di kedai. Wildan pula suka kalau ajak keluar. Jadinya, kami pakat Ummi bawa Wildan dan kami keluar selepas Ummi keluar.

Setiba di KPMC, aku dapat nombor giliran yang ke sepuluh. Biasa menunggu dekat sejam hingga dua jam. Jam 10.15 malam, barulah nombor aku dipanggil untuk berjumpa doktor. Doktor sangat kagum yang aku masih boleh bertahan selama 9 minggu selepas mendapat tahu aku short cervix pada minggu ke-30. Doktor tanya juga ada rasa sakit contraction ke apa-apa ke. Sepanjang seminggu tu ada rasa contraction cuma tidak kuat dan tidak regular. So, doktor kata kalau due date dah sampai tapi masih belum ada tanda, aku akan terus masuk ward. Due date seminggu je lagi.

Doktor scan baby dan mula mencarta graf. Berat baby tak ada pertambahan tapi seperti ada kekurangan. Minggu sebelum ni berat 2.7 kg tapi malam tu check 2.6 kg pula. Graf pertumbuhan pun dah mula mendatar. Terus doktor kata dia nak check bukaan. Bila dah check, katanya bukaan dah separuh. Kalau ikut pengalaman aku dulu, tak lama dah kalau separuh bukaan. Aku sendiri terkejut sebenarnya. Hari tu tak ada rasa apa-apa contraction pun, sakit pinggang yang lama tu je.

Doktor masih perlu berjumpa dengan beberapa orang pesakit lagi. Dia suruh pembantu dia bawa aku ke pendaftaran untuk daftar ward dan seterusnya proceed ke labour room. Masa tu, kami kelam kabut sikit sebab barang semua kat rumah. Nak tak nak incik suami kena balik dulu untuk ambil barang. So, lepas keluar dari bilik doktor, incik suami terus balik rumah. Jarak tak jauh cuma kurang lebih 30 minit pergi balik. Sambil-sambil menunggu aku layankan movie TV3 tanpa suara di ruang menunggu. Aku rasa macam tak percaya yang tak lama lagi aku akan bersalin.



15 Oktober, Sabtu.

Jam 12.43 pagi, aku masuk ward. Nurse bagi sepersalinan baju hospital dan ubat buang air besar. Selesai bersihkan diri, kami solat jemaah Isya dan solat hajat. Kemudian nurse datang untuk record CTG baby selama 15 minit. Entah berapa lama masa berlalu, dalam jam hampir 2 pagi barulah aku dibawa ke labour room. Masuk drip dan dipasang CTG. Sementara menunggu, kami borak panjang. Dari satu topik ke satu topik. Haha. Contraction yang datang pun sama seperti yang aku rasa sepanjang minggu. Sempat aku terlelap masa berborak.

Sehinggalah jam masuk 4 pagi, aku tertanya-tanya kenapa doktor masih belum datang. Nurse datang dan check bukaan, katanya masih yang sama. Dalam jam 4.20 pagi barulah doktor datang dan terus pecahkan ketuban. Setengah jam yang pertama contraction tak kuat. Aku dan incik suami sempat sambung borak. Lepas tu sakit makin kerap. Fokus aku pada conversation dengan suami mula hilang. Tapi incik suami sempat berlawak itu ini.

Jam 5.10 pagi, nurse datang lagi untuk check jalan. Kali ni bukaan dah hampir penuh. Contraction dah makin kerap tapi masih bearable. Tak lama kemudian, contraction makin kuat dan jarak selang seminit. Setiap kali datang sakit, tangan suami aku genggam kuat. Suami bagi semangat dan terus menyuruh aku istighfar dan ingat Allah. Penat dan sakit. Aku terasa nak pitam. Badan berasa lemah. Mungkin penat menunggu. Bila aku cakap tak larat, suami cakap insyaAllah boleh.

Nurse datang dan menyuruh aku mengiring. Bila mula mengiring, terasa baby nak keluar. Tangan incik suami aku genggam erat. Tak mampu nak diterangkan sakit. Suami masih membisikkan istighfar dan doa nabi Yunus. Aku ikut dan cuba menenangkan diri. Nurse cakap kena tahan sebab bukaan belum penuh. Aku ikut semua arahan yang nurse bagi. Kurang dua atau tiga minit, aku sendiri yang cakap pada nurse memang baby dah nak keluar. Bila dia check memang bukaan penuh. Dalam sekelip mata, aku kembali baring dan terus meneran. Alhamdulillah, baby selamat dilahirkan pada jam 5.23 pagi.

Sama seperti kelahiran Wildan, perasaan aku bercampur gembira, terharu, sedih dan macam-macam. Aku dengar bunyi tangisan. Benda pertama incik suami cakap pada aku bila baby keluar ialah baby iras Wildan masa baru lahir. Selepas dipotong tali pusat, baby dibedung kemudian diberi pada suami unuk diazankan. Barulah aku dukung dan beri susu. Bila tengok muka baby memang saling tak tumpah Wildan baru lahir, dan membuatkan aku rasa seperti pertama kali bersalin.

Selepas uri keluar, sakit rengat di rahim terasa sangat kuat. Macam senggugut tapi sakitnya berterusan dan tak tertahan. Bila tanya nurse, mereka beri ubat kecut rahim sebab tu rasa sakit kuat. Dulu masa bersalinkan Wildan, diletakkan air dalam termos di atas perut selepas uri keluar. Selang beberapa minit, nurse datang dan check rahim. Katanya ada darah beku dan perlu dikeluarkan. Selepas keluar darah beku barulah kurang sakit rengat di rahim. Alhamdulillah.

Jam 6.50 pagi aku diusung ke ward dan baby diambil untuk dimandikan. Nurse mandikan dan siap sikat tepi rambut baby.



Pengalaman bersalin kali ini memang pengalaman baru biarpun kali kedua bersalin. Masa yang berlalu terasa sangat cepat, lagi-lagi semasa melahirkan. Entah macam mana aku boleh survive sakit tu sampai hari ni pun aku masih tertanya. Ianya satu nikmat yang aku tak boleh nak ceritakan semula pada orang lain. Tak mampu nak diterangkan secara jelas.

InsyaAllah, nanti nak update pasal pengalaman bersalinkan Wildan. A whole different experience.

Sabtu, 29 Oktober 2016

Review bersalin Kajang Plaza Medical Center

Assalamualaikum

Aku buat post kali ni supaya dapat memudahkan ibu-ibu mengandung sekitar Kajang yang tengah cari hospital swasta untuk bersalin. Masa aku mengandungkan Mukhlis, agak susah nak jumpa review pasal KPMC ni. Mujur jumpa juga dua blog. Walaupun detail tak banyak, alhamdulillah banyak membantu.

Sebelum tu, asalnya aku decide nak bersalin kat PPUKM. Tapi pengalaman aku kat Russia yang jadi bahan contoh student buatkan aku rasa tak selesa nak lalui lagi proses begitu. Dan setahu aku hanya doktor on-call yang akan attend kita, which I don't prefer about. Based on survey, PPUKM memang tip top juga untuk bahagian Obstetric and Gynecologist dan memang aku suka servis kat PPUKM. PPUKM ada Specialist Center (private sector yang tumpang di PPUKM). So, aku decide untuk bersalin di private sector ni. Tapi, female doctors sentiasa fully booked up to two months earlier. Kalau ikut suami, dia kata kalau memang keadaan memaksa, nak buat macam mana. Tapi aku rasa kita masih boleh buat pilihan dan cari yang terbaik. Jadinya, aku pun mencarilah hospital/klinik swasta yang reviewnya bagus.

KPMC memang tak ada dalam senarai asalnya. Jadi terlintas sebab terjumpa ada orang buat senarai pilihan tempat bersalin. Bila dah terjumpa pasal pakej bersalin KPMC, aku pun mula survey. Memang susah sikit sebab tak ramai yang buat review. Kalau ada pun empat lima tahun lepas.

Bila dah finalise top two yang aku nak, aku bincang dengan suami dan kami buat keputusan untuk pilih KPMC.

Memandangkan ini post pasal review, aku buat ringkas je. Cerita panjang-panjang entri lain.

1. Doktor

Sepanjang aku cari review, aku banyak jumpa yang dapat rawatan dari Dr. Anita, doktor pakar. Ada seorang lagi, Dr. Mimi tapi medical officer. So, masa call nak buat first appointment, aku inform yang aku nak Dr. Anita.

First appointment, aku suka dengan Dr. Anita. Dia pun teliti. Bila aku cerita yang aku ada masalah short cervix, dia terus buat keputusan untuk check cervix aku. Dan dia siap suggest aku untuk ambil cucuk Dexamethasone untuk matangkan paru-paru baby incase baby lahir premature. Dia sendiri cakap dia pakar kat Hospital Kajang. So, aku memang yakin yang dia banyak pengalaman dan bagus.

Masa bersalin pun, doktor tunggu kot. Dia habis jumpa patients dalam pukul 12 malam juga rasanya, tapi dia tak balik sebab tunggu aku bersalin. Yelah, dia juga yang akan pecahkan ketuban dan sambut baby.

2. Servis

Sepanjang aku check up dan masa bersalin, semuanya aku rasa ok. Mungkin ada sikit-sikit bab teknikal kurang, tapi pada aku semua tu boleh dibaiki. Nak tanya bergelen soalan pun diaorang tak kisah. Nurse semua jenis mesra dan suka senyum. Masa bersalin pun, nurse sangat alert biarpun jam 2, 3 pagi. Arahan dan bantuan masa bersalin pun pada aku sangat okay. Mudah faham dan aku tak stress.

Bagi aku servis diaorang memang okay sangat. Maybe sebab aku bukan jenis komplen banyak. Suami pun sama. Heh.

3. Bilik

Aku ambil bilik single je. Single yang paling murah. Cukuplah untuk tidur semalaman. Lagipun aku bersalin normal dan tidak ada masalah apa-apa, discharge on time. Bilik aku ada katil, ada day bed yang simple, almari drawer, tv dan bilik air. Saiz bilik tak besar mana, kecil tapi pada aku okay dah sebab yang datang melawat pun family aku je. Memandangkan bangunan KPMC bangunan lama, ada  sikit kesan-kesan bangunan lama. Aku okay je sebab boleh tidur dan tak mengganggu aku pun. Bilik air dalam bilik pun aku dah cukup suka. Cuma masa mula-mula nak guna water heater aku terkial sikit sebab water heater lama.

Again, aku dan suami bukan jenis demand dan kami terima apa seadanya yang pihak KPMC mampu berikan. Alhamdulillah semuanya memuaskan hati.

Overall, aku rasa puas hati dan aku recommend pada mereka yang nak simple-simple. Lagipun harga pada aku paling murah dari survey yang banyak-banyak. Murah tapi servis boleh tahan tip top. Dari sepuluh aku bagi sembilan. Sebab ada masalah dari segi teknikal yang boleh dibaiki. Aku tak reti sangat nak bagi rating ni sebenarnya, tapi aku rasa 9/10 tu bunyi aku memang sukalah. Kalau ada rezeki, mungkin aku pilih KPMC lagi.

Ahad, 23 Oktober 2016

Brotherhood

Assalamualaikum.

First of all, a big thank you to each and everyone who wished and prayed for my newborn son.

Alhamdulillah, walaupun awal sikit dari due date, Wildan dah pun jadi abang besar! And if you guys notice the day before I gave birth, I managed to post an entry. Hehe.

Walaupun anak yang kedua, pengalaman tu serupa first time bersalin. Haha. Sebab bila sakit contraction baby nak keluar, aku terfikir macam mana aku survive dan tahan sakit masa bersalinkan Wildan dulu. Nak lagi masa Wildan dulu, abah dia sampai lambat. Dengan aku dah tak boleh nak digest apa mak bidan tu cakap dalam rusia, sakit datang selang seminit, memang tak boleh recall how I survived. Kalau nak dikongsikan pengalaman bersalinkan Wildan, memang panjang. Kena buat entri lain.

Entri kali ni pun aku belum nak kongsi pengalaman bersalinkan adik Wildan. Aku nak kongsikan BROTHERHOOD yang ada pada Wildan bila dia jadi abang.

14 Oktober jam 8 malam, memang ada appointment dengan doktor. Biasanya bila ada appointment Wildan akan ikut sekali, tapi hari tu aku sakit pinggang kuat dari hari biasa, dan Ummi suggest Wildan tinggal kat rumah. Dan nak dijadikan cerita, doktor warded aku malam tu juga untuk bersalin (ini kena story lain). Tinggallah Wildan semalaman dengan Tok Mi dan Tok Ba.

Wildan punya pun simpan lagi, walaupun versi Russian. 


Adik Wildan selamat dilahirkan jam 5.23 pagi. Ummi pun datang bawa Wildan dalam pukul 8 pagi melawat aku dan baby. To my surprise, Wildan pandai merajuk! Haha. Bila dia sampai kat bilik, dia sibuk kacau abah dia. Abah dia tengah penat sebab semalaman teman umminya kat labour room. Sikit pun dia tak minta nak duduk atas ummi dia atau nak bermanja. Masa ni baby tak ada sebab nurse ambil untuk mandikan dia.

Aku pun panggil Wildan minta peluk. Dia tak nak. Bila tanya marah kat ummi ke, dia angguk. Alahai anakku intan payung. Aku tanya lagi kenapa dia marah. Dengan beberapa kosa kata yang dia ada, dia ceritalah kenapa. Ini tafsiran aku dari susunan kata-kata dia: Dia marah sebab dia balik dari teman Tok Mi dia pergi ambil satay, ummi dan abah dia tak ada. Masa tu aku rasa sebak pun ye. Sebab rasa macam cinonet lahai anak aku ni, tapi dah besar sebenarnya. Boleh express perasaan sendiri pula. Lepas tu baru dia okay. Kira lega kot dah bagitahu apa yang terpendam.

Bila baby sampai, mula-mula dia speechless. Abah ajak cium baby pun tak nak. He's not jealous but surprised. Dalam sepuluh minit lebih kurang, baru dia tangkap yang baby nilah yang ummi dia dok bawa dalam perut, baby nilah yang ummi selalu suruh bagi salam. And then, dia nak cium baby, nak dukung juga dan nak tangkapkan gambar juga. Yang paling kelakar sekali, dia marahkan Aina tengok baby. Dia cakap "jangan tinok baby" (jangan tengok) kat Aina. Memang ada masa dia macam tak suka Aina, semua tak boleh. Haha.


Bukan main beriya Wildan menjengah masuk dalam crib baby nak cium adik. 

Sekarang, dia suka main dengan baby. Kitaorang ajar dia panggil adik. Ada masa dia panggil baby dan ada masa dia panggil adik. Bila datang mood nak main dengan baby, dia akan tanya "mana baby". Ada juga masa-masa dia ambil telefon ummi dia dan cakap nak tangkap gambar baby. Memang penuh gambar baby entah bermacam angle dia ambil. Sayangnya dia kat adik dia, kejap-kejap nak tengok adik dia. Dia nak belai pun ada, tapi cara dia lah. Nak dukung baby pun ye. Tapi ada masa Wildan nakal juga. Suka kacau bila adik dia tengah menyusu. Dan bila dia nak minum susu berbantalkan abah dia tapi abah dia tengah dukung baby dia suruh baby tepi. Haha.


Inilah yang aku nak kongsikan sangat. Inilah RAHMAT Allah bagi. Kenapa? Sebab sepanjang aku mengandung anak kedua ni, aku asyik terfikirkan macam mana aku nak bagi kasih sayang aku pada dua anak. Selama ni ada Wildan je depan mata. Itu buatkan aku sedar rahmat Tuhan beri pada semua ibu: kasih sayang yang tak terjangkau dek akal. Dan DIA bagi right on time, bila kami semua dah bersedia lagi-lagi Wildan. Dia dah bersedia untuk jadi abang, insyaAllah. Pandai bawa diri bila adik dia meragam. Dia banyak tolong abah dan ummi dia manage adik. Boleh dengar kata dan arahan, of course based on mood dia. Alhamdulillah.

So, that's it untuk entri ni. Ada masa terluang lagi, update lagi story.

Jumaat, 14 Oktober 2016

Abang besar Wildan

Assalamualaikum

Alhamdulillah, masuk Sabtu ni genap 39 minggu. Yeay!

Kali ini tak ada masuk hospital sebab false alarm. Cukuplah di Rusia sampai dua kali kena masuk hospital. Memanglah berbeza di tanah orang dengan tanah air sendiri, tapi pengalaman bermalam di hospital selama tiga malam sebab denggi pun dah cukup. Aku bukan tak suka doktor, malah aku antara manusia yang suka refer doktor. Aku pun bukan tak suka nurse atau klinik atau hospital, tapi sebab bermalam seorang diri dan tak boleh banyak bergerak buatkan aku rasa rimas. Itu je sebenarnya.

Sejak mengandung ni, antara perkara yang membuatkan aku selalu berfikir ialah perkembangan Wildan. Mana tidaknya, usia dia baru masuk dua tahun Mei lepas. Usia dua tahun ni banyak benda nak explore dan masih banyak benda yang perlu ditunjuk ajar. Memandangkan aku ni level kesabaran tak sehebat suami, kadang-kadang ada memberi kesan pada perkembangan personaliti Wildan. Huhu. Tapi aku tak mengalah, aku belajar ilmu keibubapaan demi anak. Suami banyak membantu dari segi menangani tekanan dan kerja-kerja rumah. Wildan pun tumpang sekaki tolong, tolong cara dia lah. Hehe.

Cepat tak cepat masa berlalu, Wildan dan 2 tahun lima bulan dan sangat banyak perkembangan dia. Biarpun badan cinonet, akal panjang bukan main. Sekarang ni hobi dia adalah mewarna. Kalau dulu dia suka memasak, sekarang dia suka mewarna. Aku memang potong kadbod buat papan conteng dia. Dan ada juga beberapa buah buku mewarna sesuai untuk usia dia. Yang menariknya dia suka mewarna dalam bentuk bulat dan di luar bahagian yang perlu diwarna. Betul-betul berfikir di luar kotak nih.

Dalam banyak-banyak perkara yang dia buat, aku paling suka bila dia nak buat sendiri walaupun tak mampu. Hehe. Contoh mudah, turun dari kerusi. Bila kita nak cepat atau nampak susahnya dia, memang kita terus angkat dia dukung atau tolong tapi dia akan marah sebab nak buat sendiri. Siap cakap "tak payah" sambil lambai tangan sebagai tanda tak payah. Tapi bila mood dia tengah tak baik atau dia mengantuk, semuanya dia malas nak buat sendiri. Haha. Tipikal manusia. Yang tua pun macam tu jugak.

Beza aku dengan suami, suami memang jenis yang bagi ruang yang besar untuk Wildan buat banyak benda sendiri. Aku bagi juga tapi ada had macam standard mak-maklah. Kejap-kejap "eh, nanti jatuh" , "kena tengok dia" , "boleh ke dia buat sendiri". Haha. Jadinya memang Wildan lagi suka dengan abah dia, macam dapat freedom. Tapi segarang mana aku pun, Wildan tetap mudah goyah bila abah dia bertegas. Suami aku memang tak pernah naik tangan mahupun naik suara, cukup dengan suara monotone dan pandangan 'killer' dia je Wildan dah boleh faham NO is NO.

Semakin dekat due, semakin nampak Wildan ni dah besar(contoh seorang ibu yang denial anak dah besar). Dan alhamdulillah bila aku minta tolong benda yang mudah-mudah dia faham dan dia boleh buat. Biasa aku minta tolong ambil barang. Banyak juga kerja-kerja rumah aku ajar dia. Contoh bila tertumpahkan air, lap sendiri. Walaupun dia lap cara dia, tapi dia tahu kalau tumpah kena lap. Itu pun cukup dah sebenarnya. Biasa aku dengan suami memang akan minta dia kemas mainan sendiri. Kalau dia minta orang lain buat, kitaorang akan tanya dia siapa yang main dan siapa yang patut kemas. Bila mood dia okay, dia faham dan dia akan kemas. Bila mood dia malas atau tak nak layan, dia akan cakap orang lain yang kemas. Budak pun ada mood tau.

InsyaAllah ada masa aku nak share beberapa buah buku parenting yang aku baca. Dan buku parenting ni bukan baca sekali harung je. Otak kita bukan macam hard disk komputer, boleh save semua dan nanti tinggal search je. Kena ada refresh dua tiga kali. Kena tunggu lepas bersalin, pantang semua lah kot. Aku pun bila-bila je ni agaknya nak keluar.




Sabtu, 10 September 2016

Denggi dan Zika

Assalamualaikum.

Baru-baru ni Malaysia dikejutkan dengan berita virus Zika yang mula menular. Dah ada satu kematian dan jangkitan melibatkan ibu mengandung.

Bila keluar berita virus Zika ni, aku jadi risau sangat sebab aku baru je recover dari denggi. Dahlah baru recover dari denggi nak pulak kena bedridden. Sedih tu sedih. Stress tu ada masa memang stress sangat.

Aku kena denggi waktu mengandung. Memang sangat scary. Warded jugaklah masa mengandung. Aku bukan tak suka hospital, tapi aku memang kurang gemar bila warded. Kalau kat Russia dulu memang tak perlu cakaplah sedih sebab tak boleh melawat langsung, pastu aku macam alien je kat situ. sebab aku kecik dan lain dari orang. Kat Malaysia oklah lagi. Cuma, suasana hospital tu buatkan aku sedih.

Alhamdulillah aku kena denggi taklah sampai tahap tak boleh makan langsung. Selera memang mati. Tapi aku tabahkan diri untuk makan demi baby dan tenaga untuk baby. Air kosong aku cuba tak tinggal walaupun ada rasa nak muntah bila minum. Patutlah bila orang kena denggi, selalu dipesan minum air kosong banyak. Sebab mati selera dengan air kosong tu memang rasa nak muntah bila minum air kosong. Bacaan platelet aku tak rendah sangat, tapi kena hati-hati sebab darah aku positif denggi. Tiga malam juga aku bermalam di hospital. Masuk air ada tiga botol. Berapa kerap ambil darah tu tak perlu cakap, daripada aku tak rasa sakit ambil darah sampai jarum kecik tu pun aku rasa besar.

Disebabkan aku mengandung, setiap hari dua kali nurse datang untuk check denyut baby. Mak mana tak suka dengar denyut jantung baby dalam perut? Rasa selamat dan tenang. Aku kadang-kadang cepat gelabah bila baby macam tak gerak, tapi bila dia gerak, aku yang tak tahan sebab lasak sangat. Sebelum discaj, check ultrasound baby. Kata doktor oksigen, air ketuban semuanya ok. InsyaAllah denggi tak kacau baby sebab aku pun dah masuk trimester ketiga. Theoretically baby dah banyak develop.

Cuma yang aku tak tahannya, penutup denggi badan aku naik ruam. Doktor kata itu memang stage last untuk denggi. Ada tiga ke lima hari aku kena tahan gatal satu badan. Siap pakai scrub badan masa mandi sebab nak hilangkan gatal. Dulu Baba kena denggi, dia tak kena stage last tu. Memang ada orang akan dapat dan ada orang tidak. Sabar je aku hadap gatal-gatal tu. Alhamdulillah dah dua minggu pun sebenarnya aku recover dari denggi.

Terima kasih banyak kepada semua yang mendoakan recovery aku masa tu. Aku rasa aku taklah teruk sangat kena sebab selera mati dua hari macam tu je. Badan lenguh tak bermaya pun dua tiga hari je. Semua tu pun sebelum check darah untuk denggi. First few days of fever. Masa kat hospital memang totatlly observation dengan doktor je sebab lenguh badan memang tak ada, selera pun slowly coming back.

Rabu, 7 September 2016

Gadget Withdrawal

Assalamualaikum.

Zaman kita kecil dulu tak sama dengan zaman anak-anak kita sekarang. Kalau dulu, dunia bermain kita lebih kepada bermain di luar rumah, bermain dengan kawan-kawan. Zaman sekarang, rata-rata dunia bermain kanak-kanak adalah tablet, smartphone dan yang seangkatannya. Aku tak kata semua, aku kata rata-rata. Masih ada kanak-kanak yang suka bermain di luar dan explore.

Wildan ada juga melalui fasa gadget addict. Salah aku juga. Ikutkan sangat anak, sebab kononnya usia 0-4 tahun ni manjakan anak. Salah faham konsep. Aku banyakkan membaca pasal membesarkan anak. Aku observe zaman dia membesar. Memang tak sama dengan zaman aku kecik dulu. Takkan aku nak buat benda yang sama Ummi Baba buat kat aku. Kena ada modification bersesuaian dengan zaman anak.

Sebelum bulan puasa masuk, aku dah perasan yang dia punya addict tu tak boleh nampak iPad atau telefon abah dia yang satu tu. Ada sekali aku bagi sebab kami dah mengantuk sangat, tinggal dia segar bugar. End up aku terjaga tengah malam, mata dia masih bulat hadap iPad. Since that incident, aku sorok iPad. Dulu dia tak cari, lepas dapat main sorang-sorang, dia mencari iPad. Dengan aku memang dia tak gerun mana bila aku tak bagi main, tapi kalau abah dia, cukup abah dia tengok dia pegang, dia akan tutup skrin. Haha. Padahal abah dia tak pernah marah pun, sekadar bertegas dengan suara yang mendatar. Hebat sungguh penangan abah dia.

Aku rasa part of me was wrong to him sebabnya addict dia tu berkemungkinan besar sebab aku juga suka hadap telefon dan kurang spend masa dengan dia. So, I took the initiative to be in his world. I learn how to be a child and a mother at one time. Supaya ada masa dia boleh bermain, dan ada masa dia boleh belajar. Aku mula mencari idea untuk buat busy book. Dan aku selalu ajak dia buat kerja-kerja rumah dan memasak. Bila dia nak tolong, aku bagi dia buat. Ada setengah orang memang tak boleh bila budak kecik menghimpit nak buat itu ini juga. Aku pun macam tu juga. Tapi kalau sekarang semuanya aku kata tak boleh, semuanya aku tak bagi dia tolong, dah besar nanti mindset dia tak perlu tolong.

Aku tak sepenuhnya putuskan dia dari dunia gadget sebab aku tak nak dia rasa tak puas hati. Kenapa? Anak aku pun manusia, ada perasaan dan ada keinginan. Apa agaknya perasaan anak aku bila tengok anak orang lain ada masa bermain dengan gadget, tapi dia tak ada? TV aku tak shut down, cuma kurangkan waktu siaran. Paling lama aku bagi dia tengok kartun 2 jam sehari. Dia suka ke tak channel tu, aku tak kisah. Kalau bagi ikut kehendak dia, akan jadi lebih 2 jam. Malam aku 'haramkan' channel kartun dibuka. Kalau handphone pun, aku bagi as reward ataupun tengok sama-sama dengan dia. Sambil tengok dengan dia, aku berkomunikasi dengan dia.

Lebihan masa sebelah petang, sama ada aku bagi dia tidur atau aku bagi dia main mainan dia. Favourite dia memang main masak-masak. Haha. Ada masa aku ajak main busy book dia. Ada masa ajak dia main lukis-lukis. At one point, aku rasa dia bosan dengan rutin dia, aku buat kotak mainan khusus untuk dia main permainan yang berbeza setiap hari. Dia ada lego, ada puzzle, ada set memasak, ada bola, ada buku mewarna. So everyday different kind of activities to do. Tak ada jadual pun hari apa main apa. Kadang-kadang aku tanya dia nak main apa, dan dia akan pilih dengan senang hati. Bersepah tak perlu cakaplah.

Bila aku tengok dia membesar, makin banyak buat aku terfikir pasal diri sendiri. Membesarkan anak ni tak mudah. Bukan macam main masak-masak masa kecik dulu. Nak selami jiwa budak-budak tu, kita sendiri kena masuk dunia dia. Nak dia dengar kata kita, kita sendiri kena ajar dengan cara kita dengar suara dan rintihan dia. Nak anak hormat kita, kita sendiri kena belajar bagi hormat pada dia. Banyaklah lagi. Lagipun aku ibu muda yang anak pun masih belum kenal dunia. Masih jauh perjalanan aku. Aku selalu sebut kat suami, jadi mak ayah ni kita kena banyak muhasabah diri sebab yang besarkan anak kita tu KITA bukan orang lain. Buruk baik anak tu datangnya pun dari KITA.



Jumaat, 2 September 2016

Bedridden lagi

Assalamualaikum

Bulan September dah menjengah masuk. Tak lama lagi Oktober. Maksudnya due date pun dah semakin dekat. Secara jujur, all those mixed up feelings dah datang balik. Aku ingat aku kuat agaknya untuk second time pregnant, tapi tidak~ Masuk fasa trimester ketiga memang menyeramkan bagi aku.

Perjalanan dan pengalaman orang mengandung berbeza-beza. Pengalaman bersalin pun lain-lain. Macam Ummi, dia sendiri kata sembilan bulan dia mengandungkan empat orang anak memang tak ada masalah dan pada dia, dia tak lalui fasa-fasa yang memeritkan. Dia kata untuk go through another nine month of pregnancy memang tak kisah, yang berat bila baby dah lahir dan first two years yang sangat mencabar. Berbeza dengan aku, aku bukanlah trauma mengandung tapi tiga trimester ni tiga jenis perasaan yang aku lalui. First trimester dengan alahan dan sakit-sakit badan, second trimester aku teruja dengan baby gerak-gerak dan third trimester dengan perasaan tak tentu hala almost all the time. Nak bandingkan dengan orang dah beranak empat dengan aku baru nak masuk dua memang susahlah.

Kali ini aku kena bedridden lagi. Sama masa mengandungkan Wildan dulu. Cuma masa Wildan ada dua kali warded dan merasa duduk hospital Russia. Mengandung kali ni, aku terkilan sikit sebab masa buka buku merah kat klinik kerajaan, aku ada sebut pada doktor tentang masalah yang aku lalui masa mengandungkan Wildan, tapi mungkin sebab Wildan lahir cukup bulan, nampak macam tak serius. Bukan setakat doktor kat klinik kerajaan, aku pernah refer pada doktor pakar pun lepas bersalinkan Wildan. Semuanya macam kata tak ada masalah.

Masuk trimester ketiga aku dah mula sibuk cari hospital untuk bersalin. Habis buat research dan bincang dengan suami, akhirnya kami pilih untuk bersalin swasta. Alkisahnya, buatlah appointment untuk rekod dengan hospital dan kenal doktor. First appointment tu aku macam tak nak cerita dah masalah masa mengandungkan Wildan sebab semua doktor yang aku cerita macam tak kisah je, tapi terasa kena cerita sebab nak tahu juga aku masih ada masalah yang sama atau tidak. Dan doktor kali ini ambil serius. Dan lepas second appointment, doktor bagi arahan jelas yang aku kena baring 24/7 kecuali ke tandas. Arahan yang sama aku dapat masa mengandungkan Wildan. Hadap laptop pun dalam keadaan baring je. Hurm...

Aku taklah aktif dan taklah pasif masa mengandung tapi dulu masa bawa Wildan aku degil kot. Suami tak berapa bagi aku main atau jadi coach netball, tapi aku pujuk sampai dia bagi. Aku rasa konon macam gagah perkasa. Aku pergi kelas macam biasa, hadap keadaan macam sardin dalam metro tiap-tiap hari. Naik turun tangga kat universiti sampai tingkat empat. Pergi usrah pun gagahkan diri. Tapi Allah dah tulis, aku mengandung tak macam orang lain yang kuat. Dua bulan terakhir sebelum bersalin aku kena bedridden. Demi kesihatan baby, memang aku kena bedridden, takut preterm labor.

Stress tak stress tak payah cakap, sebab aku sangat diterhadkan pergerakan dan ada masa rasa macam tak berguna je. Tapi yelah, demi anak aku telan juga perasaan tak seronok tu. Lagipun suami banyak tolong. Lagi-lagi dengan melayan kerenah Wildan. Memang tak ingat sangat apa yang kitaorang buat bila aku bedridden masa mengandungkan Wildan sebab masa tu baru nak mula berkeluarga. Sekarang ada Wildan, melayan mood swing dia, melayan perkembangan dia dan tahap kesabaran memang kena tinggi. Aku memang tak sehebat suami dalam bab bersabar ni.

Kalau aku bandingkan pengalaman aku mengandung dengan orang lain yang kuat, memang aku rasa cemburu sebab ada orang sampai minggu terakhir pun masih boleh buat kerja. Tapi, mengandung ni tak sama untuk semua orang. Sebab tu aku terima keadaan aku dengan hati yang terbuka. Bukan aku tak dengar bunyi kata aku manja lah apa lah, tapi hakikatnya tak semua orang sama.

Ada lebih kurang 6 minggu lagi aku kena 'manjakan' badan. Macam mana aku lalui tempoh yang lebih kurang sama masa Wildan dulu aku pun kurang ingat. InsyaAllah, hopefully kali ini dapatlah bertahan paling kurang 38 minggu. Kalau abangnya dulu boleh, adiknya pun boleh.


Rabu, 31 Ogos 2016

COMMON SENSE

Assalamualaikum

Selamat menyambut HARI KEMERDEKAAN KE-59 buat Malaysia. Sudah setengah abad lebih negara kita diisytiharkan MERDEKA.

Entri pendek kali ni aku cuma nak mencoretkan beberapa buah pandangan dari pemerhatian aku.

Usia aku masih muda, baru suku abad hidup. Mungkin belum pun layak untuk mengutarakan pendapat, bak kata rata-rata orang yang lebih makan garam.  Pada pemerhatian aku, nilai kematangan di Malaysia lebih dilihat pada nilai umur. Percaya atau tidak, itulah hakikatnya. Bila anak muda remaja mula bersuara, pasti akan ada yang menyebut "kami makan garam dulu dari kamu". Itu satu fakta yang kami tak mampu sangkalkan. Namun, pada aku ramai yang menggunakan alasan 'makan garam dulu' untuk berada di takuk lama dan selesa di zon sedia ada.

Pernah satu saat dulu, aku geram pada sikap junior dan alasan yang aku selalu guna ialah 'takkan tak tahu itu COMMON SENSE'. Bunyinya matang, tetapi sebenarnya tidak. Perkataan COMMON SENSE itu sebenarnya satu alasan buat memuaskan hati kita untuk menjusifikasikan tindak tanduk kita adalah biasa dan dalam persekitaran norma kehidupan.

Kalaulah common sense itu memang betul common, takkan wujud perbezaan budaya dan adat di serata dunia. Cuba perhatikan sekeliling kita. Memang kita akan rasa itu common sense. Tetapi cuba kita keluar dari zon selesa kita, mengembara mengenal budaya dan adat di luar sana. Carilah common sense yang kita banggakan sangat.

Contoh paling mudah ialah memberi tempat duduk kepada yang memerlukan dalam pengangkutan awam di Malaysia dan di Russia. Common sense di Malaysia ialah, siapa dapat duduk dulu, itu tempat dia. Percaya atau tidak, perhatikanlah. Kenapa aku kata itu common sense di Malaysia? Sebab itulah yang dipraktikkan di Malaysia. Sehinggakan hal kemanusiaan sebegini perlu dibuat iklan dan kempen! Kalau di Russia, common sense mereka ialah siapa yang memerlukan tempat duduk akan diberikan tempat duduk. Kau tak bagi kau akan dikutuk secara langsung. Percayalah.

Kenapa aku bandingkan benda seremeh ini? Pada aku wajar kita semua sedar yang ada setengah common sense adalah nonsense. (Maaf kalau bunyinya kasar). Kita rasa common sebab kita membesar dan dididik sebegitu, tetapi dengan ilmu semua ini boleh diperbetulkan. Masalah kita ialah kita terlalu selesa atau terlalu ego untuk mengubahnya. Sebab tu Tuhan suruh mengembara. Mengembara jangan ala-ala dato datin. Mengembara dengan apa yang kita mampu untuk kita merasa kepayahan dan kesusahan mengembara dan mengambil ibrah dari pengembaraan kita. Kalau mengembara gaya dato datin yang kita dapat banyaknya makan sedap, tidur lena, gambar cantik je.

Bila kita merantau, kita akan mula perhatikan kebiasaan atau norma masyarakat setempat. Yang mana baik kita ikut, yang mana tidak kita jadikan pengajaran. Sebab tu bila merantau minda dan fikiran sepatutnya lebih terbuka dan lebih jauh pandangannya. Baru kita nampak baik buruknya adat dan budaya yang kita ada. Tak mampu nak mengembara secara fizikal, mengembaralah dengan minda yang lapang. Bila bertukar pendapat jangan tahu nak menang je, tapi tahu nak mendapat sesuatu yang baru. Kalau nak menang sahaja, hiduplah kita dengan kesombongan yang tak berkesudahan.

Aku menulis kali ini lebih kepada aku meluahkan pendapat, kalau tidak setuju silakan untuk membidas. Macam yang aku tulis awal-awal, aku baru suku abad hidup. Masih terlalu jauh perjalanan hidup aku. Apa yang aku coretkan cuma pemerhatian aku atas tindak tanduk sekeliling aku sahaja.

Isnin, 15 Ogos 2016

Forever Living

Assalamualaikum


Dua kali mengandung, dua pengalaman yang berbeza.
Masa mengandungkan Wildan dulu, aku mengharaplah muka jadi berseri-seri sebab orang selalu kata bila mengandung ada seri di wajah. Haha. Nope. I did not have clear skin or glowing skin at that year.
Monthly breakouts ada tapi semua versi halus mulus yang boleh diuruskan. Mengandung pula musim sejuk, masalah kulit kering memang ada tapi tak seperti dua tahun sebelumya. Dan aku baru tahu masa mengandung ada sesetengah produk kecantikan; set penjagaan kulit dan alat solek, ada bahan larangan untuk ibu mengandung. Memang aku agak berhati-hati sebab mostly ubat jerawat memang tak boleh digunakan. Aku banyak bergantung pada Bio-Oil.

Mengandung kali ini, aku melalui fasa hormonal inbalance yang sangat tidak selesa. Bukan setakat alahan teruk dari yang dulu, masalah kulit pun teruk dari yang dulu. Nak pakai ubat jerawat memang tak boleh sebab salicylic acid, bahan aktif dalam produk anti-jerawat, adalah BIG NO bila mengandung dan menyusukan anak. Lagipun kulit aku tak sesuai sebab dia akan mengeringkan kulit aku ke tahap maksima. Retinol ke benzoic acid pun tak boleh. So, pada mulanya aku terima je keadaan hormon tidak stabil ni. Masalahnya, jerawat makin bertambah dan pertama kali aku dapat jenis-jenis yang besar tu. Senang kata, rutin biasa tak membantu dalam mengurangkan masalah jerawat.

Post ini mengandungi unsur review dan promosi. Harap maklum. =)

Ummi sekarang menggunakan produk Forever Living sebagai sebahagian daripada supplement dia. Salah satu produk keluaran Forever Living ialah Aloe Vera Gelly. Rata-rata semua orang tahu Aloe Vera Gelly sekarang ni tengah naik dengan pelbagai guna yang boleh merawat parut, luka dan macam-macam. Ada satu lagi Aloe Propolis Creme. Dia memang suggest aku guna Aloe Vera Gelly untuk macam-macam kegunaan: luka, jerawat, masalah sunburn. Aku pula terjumpa dekat Pinterest yang masalah jerawat boleh dikurangkan dengan gabungan Aloe Vera Gelly dan Aloe Propolis Creme.

Sumber gambar Google

Apa yang aku buat ialah, aku sapu Aloe Propolis Creme kat kawasan jerawat naik, then sapu Aloe Vera Gelly. Pedih dia, memang tak tahu nak explain. Tapi yang bagusnya, pedih-pedih pun produk ni tak menyebabkan kulit jadi merah-merah atau terhakis. Pedih tu cuma reaction kuman dalam jerawat dengan ubat. Kena tahan dalam 5 minit lah juga. Even parut pun boleh sebenanrnya. (Aku malas nak ambil gambar sendiri)

Aku buat dalam dua ke tiga minggu. Setiap kali lepas solat isya, sebelum cuci muka malam. Kalau aku terlepas, aku buat masuk tidur. Tapi susah nak tidur dengan aman sebab aku bergolek-golek dengan Wildan, so aku elakkan dari buat masa tidur. Alhamdulillah, jerawat susut, bukanlah secara magiknya bersih terus. Haha. Tapi tak adalah jerawat yang ada tak nak susut dah naik yang baru. Aku tak pernah lalui proses pertumbuhan jerawat yang macam ni. Dan sampai sekarang kalau aku naik jerawat baru memang aku akan sapu Aloe Vera Gelly. Even kalau jerawat pecah pun, cepat-cepat aku sapu. Kalau aku rajin sangat, aku simpan Aloe Vera Gelly dalam peti ais dan sapu. Sejuk dari Aloe Vera Gelly tu boleh kata mengimbangi pedih yang ada.

Kalau betul-betul disiplin, hasil mungkin lebih baik. Lepas jerawat dah susut aku jarang buat dah. Jerawat pun naik bermusim je. Bila naik jerawat baru memang aku cepat-cepat letak. Jerawat taklah kecut terus, tapi dia tak jadi membesar dan taklah menguning tu. Most of the time, aku guna Aloe Vera Gelly. Satu tube tu tahan setahun. Tak perlu guna banyak-banyak.

Pada aku, lebih selamat guna aloe vera gelly ni sebab bahan semula jadi dan tak ada side effect. Pengalaman aku dengan kebanyakan produk anti-jerawat dari zaman bujang sampai sekarang ni memang mengerikan. Pernah sampai kulit aku kering dan jadi bersisik. Rupanya kulit aku sensitif. Nak tak nak aku memang kena avoid certain ingredients. Bila ada aloe vera gelly ni memang seronok!




Isnin, 8 Ogos 2016

Duduk rumah pun haru biru

Assalamualaikum.

Walaupun aku dah setahun duduk kat rumah, kadang-kadang hidup duduk kat rumah pun huru hara sangat.

Bermula dengan aku 24/7 dengan anak. Dua bulan pertama memang aku rasa susah sangat sebab aku seorang diri yang hadap ketawa nangis tantrum anak. Semenjak aku lahirkan Wildan, pertama kali aku seorang 24/7 dengan dia adalah lepas graduate. Sebelum tu, masa belajar boleh bergilir dengan abahnya. Masa cuti musim panas makcik pakcik dia, atuk nenek dia semua nak main dengan dia. Masa ke kelas, ada nanny datang rumah jagakan dia. Bila dapat interview kerja, aku mula berfikir anak nak letak mana. Usia belum dua tahun kena duduk taska. Kalau boleh aku tak nak sebab dia terlalu kecil dan mudah kena pengaruh. Dan adalah beberapa reason lain yang menyebabkan akhirnya aku decide untuk tak terima kerja tu. Sakit juga nak decide sebab aku tak tahu mana satu nak dahulukan.

Lepas dah tiga bulan jadi suri rumah, aku perasan yang Wildan manja lebih dengan abahnya. Padahal 24/7 dengan aku. Aku mula muhasabah diri. Anak belum masuk dua tahun, baru nak belajar tentang perasaan dan kasih sayang, aku pulak jadi mak yang garang. Haha. Tapi aku tak angkat tangan atau cubit dia. Aku cuma garang sebab dia suka buat sepah (budak kan) dan aku terasa susah sangat jadi fulltime housewife. Boleh kata stress juga. Memang ada masa aku serah TV je kat dia. Sungguhlah aku rasa tak berbahaya TV tu sebab pasang channel budak. (Masa tu ada Astro Ceria je, sebab tak subscribe pakej kanak-kanak). Sekarang dia manja lebih pula dengan aku. Aku yang marah bila dia buat salah pun, kat aku juga dia mengadu. Haha.

Bila dapat tahu pregnant, jadi lagi tak tentu arah sebab hormon memang tak stabil. Alahan, muntah-muntah dan yang paling tak tahan ialah pregnant kali ni sakit belakang almost all the time. Tak kuat tapi mengganggu dan ada masa tak boleh bergerak jadi. Kerja kemas rumah ada yang aku terpaksa tutup mata tak buat sebab tak larat. Ummi pun pesan untuk jangan buat kerja berat sebab risaukan baby. Yelah, pengalaman mengandungkan Wildan buat semua orang berjaga-jaga untuk kali ni. Sampailah dah masuk tengah trimseter kedua barulah boleh kembali kepada rutin asal, biarpun sakit belakang masih ada.

Bila dah genap setahun, aku mula rasa sayang nak tinggalkan anak kat orang kalau aku kerja, tambah lagi nanti ada baby baru. Huwaaa... suami tak kisah nak kerja atau tak. Aku je yang masih berbelah bahagi sebabnya kalau boleh aku nak apa yang aku susun untuk anak-anak berjalan seperti yang aku plan. Mak mana tak nak gitu kan? Lagipun aku rasa aku akan kerja bila anak-anak dah besar dan dah boleh jaga diri dari pengaruh tak elok. Bila entah aku pun tak tahu. Aku masih belum mengalah dengan cita-cita aku. Sebab suami support habis dan aku rasa boleh buat!

To me, jadi surirumah ni bukanlah senang. Aku dulu rasa 'alah setakat jadi surirumah, boleh sangat' Haha. Bolehlah sangat..... Stress juga sebulan dua yang pertama sebab baru merasa hadap kerenah anak kecik yang mood swing kalah orang period. Akulah memory card untuk rancangan TV dan karakter TV dia. Aku jugalah yang kena tukar lampin, mandikan dia. Aku jugalah yang kena pastikan perkembangan dia sesuai dengan usia. Itu baru bab anak. Belum masuk bab jaga rumah. Rutin kemas rumah, memasak, baju-baju kotor lagi. Memang penat. Aku pun tak pasti kalau aku kerja berdaya ke tak untuk aku buat semua yang aku buat sekarang ni. Sebab kerja pun penat, nak pastikan rumah dalam keadaan kemas dan teratur setiap hari pun penat. Kalau gabung dua tu, habislah aku. Alhamdulillah suami faham dan dia banyak tolong sana sini untuk aku.

Kepada yang tak kerja walaupun ada degree sebab jaga anak dan rumah, jangan bersedih hati sebab korang belajar banyak benda dari anak-anak sebenarnya. Dan kepada yang bekerja jangan sedih juga sebab tak dapat merasa pengalaman 24/7 dengan anak sebab korang mak yang hebat sebab mampu berbakti pada masyarakat di samping ada anak di rumah. To me, masing-masing dah timbang tara sehabis baik keputusan yang dibuat. Tak perlulah nak kondem pihak sana atau sini. Bersyukurlah dengan kedudukan dan kebahagian masing-masing. Lagipun timeline orang lain-lain, ada orang sekarang, ada orang tahun depan. So, keep calm and have faith in Allah.





Sabtu, 6 Ogos 2016

Bumi Soviet itu

Assalamualaikum

Entri kali ini berbaur sentimental sikit. Kenapa? Sebab ada benda-benda yang aku rindukan masa aku duduk di Moscow dulu.

Dah setahun sebulan aku tinggalkan Moscow dalam tak sedar. Dan dah setahun aku secara official adalah SAHM. Fasa-fasa menjadi surirumah ni tak mudah. Memang aku salute orang yang jadi surirumah sepenuh masa sejak kahwin. Aku tiga tahun kahwin, baru setahun merasa. Itu pun struggle juga.

Back to the topic, I missed some parts of Moscow (as a student).

Beberapa bulan sebelum balik Malaysia, aku pernah tanya suami "Kalau kita stay je dalam Moscow untuk beberapa tahun aci tak?" Dengan selamba dia tanya balik "Nak makan ayam je ke sepanjang masa?" Haha. Sebabnya, ayam je yang murah. Ayam halal harga dua kali ganda mahal dari ayam tak halal, tapi itulah lauk paling murah. Ikan dahlah mahal walaupun tak segar mana. Daging mahal dan susah sikit nak dapat. Lagipun, as foreigner duduk Russia kena ada visa. Ada visa leceh, kena ada host yang boleh support untuk keep renew visa.

Kos sara hidup kat Moscow boleh kata tiga kali ganda mahal dari Malaysia. Air mineral saja RM5. Tapi kami duduk hostel universiti, dah cut cost kat duit sewa sebab murah. Bil letrik, bil air pun dan termasuk bayar hostel. Students yang duduk apartment sewa mahal walaupun dan bahagi samarata. Diaorang sewa satu rumah duduk 5-6 orang. Taklah terbeban mana, tapi masih mahal dari kami yang duduk hostel (student engineering je murah).

Aku rindu Moscow sebab aku rindu public transport dia. Haha. Jimat duit minyak dengan duit kereta. Duduk sana pakai public je pun cukup dah sebab memang sangat sangat efficient. On time, boleh bajet masa, better than roadway. Crowded tu tak perlu cakaplah. Dah nama sangat efficient, memang ramailah yang guna. Kat sana, guna public transport sangat jimat sebab ada kad transport untuk golongan-golongan tertentu dan ada kad bulanan lagi. Kami student memang dapat student card untuk transportation. Yang aku perasan, transport card ni boleh juga link dengan bank card. Golongan pencen dan tua-tua pun ada card diaorang.

Benda lain yang aku rindu kat Moscow ialah medical services dia. Haha. Universiti wajibkan medical check up kat klinik universiti every year untuk lepas PE, tak ambil kira tak lepas. Check up bukan check setakat ambil x-ray je, siap ada check ECG, ada ambil darah, ada ambil air kencing, kena jumpa doktor yang ketuk-ketuk lutut (lupa namanya apa), check gigi, yang perempuan kena jumpa gynaecologist, ada juga jumpa doktor yang check body posture. Ada orang kena buat semua, ada yang tak perlu sampai check darah, bergantung pada arahan yang makcik kat meja kaunter tu bagi.

Kalau klinik swasta, mahal memang mahal, tapi sangat bagus. Rata-rata semua orang kena ada insurans. Macam masa aku nak bersalin, nak sign contract dengan hospital, dia tanya juga ada family insurans ke (untuk cover pregnancy). Aku ada insurans yang universiti bagi je. Yang ni memang tak cover aku bersalin. Aku tengok semua ibu-ibu mengandung ada kad insurans untuk bersalin. Even register pun dia minta nombor insurans. Aku tak ada, diaorang ambil je yang universiti punya sebab nak key in data tak boleh tak masukkan nombor insurans.

Insurans diaorang bukan yang jenis bertahun-tahun. Bergantung pada jenis. Macam yang universiti selalu provide kat kami, renew every year. Masa Wildan pun sign contract dengan klinik keluarga untuk dapatkan insurans tu sebab kalau ada kes emergency susah bila call ambulans. Dan biasanya kalau dah sign contract dengan klinik tu boleh call ambulans dia je. Lagipun, dapat service lain selain cucuk vaksin ikut jadual.

Aku belajar kenal nama ubat. Sebab tu aku rindu medical services kat Moscow. Pergi check up dengan doktor, dia bagi list ubat apa kena beli kat farmasi sekali dengan dia explain kenapa dia bagi ubat tu (ada je yang dia tak explain, most of the time dia explain). Datang check up yang kemudian, bila doktor tanya ubat apa, tergagau nak menjawab. Mula-mula aku pelik, tapi lama-lama aku belajar. Sampai ke content ubat pun aku ambil tahu.

Satu lagi yang aku rindu ialah orang Russia yang tak lokek ilmu dan baik hati. Memang orang Russia terkenal dengan kebengisan dan susahnya nak senyum tapi ada manusia yang jenis tak lokek ilmu dan baik hati. Pernah sekali beli cendawan, tengah pilih-pilih tu ada makcik tu tegur, dia kata aku salah cara pilih cendawan. Dia bagitahu tips nak pilih cendawan. Masa tu aku terkejut. Makcik tu bukan kenal aku pun, dahlah aku bertudung pula. Tapi dia baik hati untuk ajar basic skills. Banyak sangat cerita best-best orang Russia ni sebenarnya.

Last sekali yang aku paling rindu kat Moscow ialah budaya memuliakan orang perempuan. Adab orang lelaki dengan perempuan sangat bagus. Sebelum sampai Russia, cikgu bahasa kami awal-awal dah pesan kat budak lelaki yang budaya mereka lelaki tak hulur tangan dulu untuk berjabat tangan. Tunggu orang perempuan yang hulur, kalau tak hulur maknanya tak nak bersalam. Sama juga kalau dengan orang tua dan kanak-kanak. Tunggu diaorang hulur dulu. Sebagai tanda hormat.

Dalam metro atau bas atau tramvai tempat duduk diutamakan untuk orang tua, perempuan, ibu mengandung, kanak-kanak dan orang OKU. Biasanya kalau nampak senarai orang ni, mesti ada yang offer. Kami yang perempuan seronokla. Tapi bila sesak sangat orang, kami yang muda gagah boleh berdiri mengalah pada yang selayaknya duduk. Pernah sekali ada ibu mengandung ni berdiri, nampak dia dah sarat ada lima orang offer duduk tapi dia tak nak. Mungkin dia takut terlepas stesen, tapi nak tunjuk yang budaya begini bukan paksaan memang kebiasaan.

Sepanjang duduk Moscow banyak benda yang aku belajar; dari segi ilmu dalam kelas, pengalaman hidup dan skil untuk terus hidup (survival skill). Sebab tu dalam Islam kita digalakkan untuk travel supaya kenal budaya luar, ambil pengajaran mana yang buruk dan ambil teladan mana yang baik. Travel bukan dengan kemewahan sahaja, travel dengan hati yang terbuka untuk segala kemungkinan. Aku sempat travel dengan kawan-kawan sekali je sebelum kahwin. Selebihnya travel dengan suami dan dengan anak terus. I do love travelling and exploring new places. Aku pasang cita-cita nak kerja oversea. Haha. Doakan tercapai.