Isnin, 20 Mei 2013

Akiramenai! Ganbaru!!!!

Salam.

Lama sesangatnya tak menulis, mahu dua ke tiga bulan.

Dan tak lama dah, aku akan berangkat pulang bercuti ke Malaysia. Yeay!

Secara jujurnya, semenjak masuk tahun kedua mencari ilmu di Bumi Soviet ini, tekanan jiwa dan mental semakin menggila. Faham pun macam tak faham. Sibuk memang semakin sibuk. Sehinggakan pernah suatu ketika Ummi cakap begini “Hari Ahad awak sibuk selalu, susah nak skype” . Hahahaha. Ye, masa itu sibuk dengan sukan, dengan kelas, dengan usghah dah bermacam-macam lagi. Spesies aku ni memang suka libatkan diri dengan bermacam-macam benda, sampai aku sendiri yang akhirnya rasa tertekan. Mengada. Itulah gelaran terbaik untuk diri sendiri.

Sebenarnya, tujuan entri ini ditulis adalah khas aku tujukan kepada T-rex yang baru je melangkah masuk ke alam universiti. Jujur aku katakan, sebagai kakak, dia ini memang adik yang rajin sesangat dan memang pandai. Aku sayang kat dia.

Aku suka gunakan satu analogi paling mudah. Hidup kita ini macam roda. (ofkos merata-rata orang dengar ayat se‘cliche’ ini) Kadang-kadang kita di bawah dan kadang-kadang kita di atas. Jangan pernah sekali pun, kita berputus asa dengan kehidupan kita. Sekali kita berputus asa, itulah kegagalan kita yang terbesar.

Sejak duduk di sini, aku merasakan apa yang penting adalah usaha aku untuk menuntut ilmu. Ya, bukan keputusan hasil usaha aku. Keputusan yang baik adalah satu bonus untuk aku, dan keputusan yang tak baik adalah satu pengajaran buat aku. Mungkin bila aku dapat keputusan yang baik, kelak aku akan leka, malas belajar. Mungkin bila aku dapat keputusan yang baik, aku akan bertambah bersemangat untuk belajar. Mana-mana pun boleh menjadi tindakan aku selepas mendapat keputusan.

Dan hari ini, aku berusghah dengan adik-adik comelku. Teringin sangat aku kongsikan ayat yang sangat menarik ini.

Sesiapa yang dijauhkan azab daripadanya pada hari itu, maka sesugguhnya Allah telah memberi rahmat kepadanya; dan itulah kejayaan yang jelas nyata. (Al-An’aam:16)

Allah sedikit pun tidak memandang keputusan kita. Di akhirat kelak sedikit pun Dia tidak memandang pangkat yang kita miliki, kejayaan yang kita kecapi, tetapi Dia melihat pada amal kita, niat kita, dan usaha yang telah kita kerjakan demi agamaNya. Menuntut ilmu ini juga satu jihad. Apatah lagi satu jihad yang wajib bagi kita yang hidup dalam keadaan harmoni tanpa sebarang ancaman.

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam."

(Ibnu Majah dan Lain-lainnya).

Apakah usaha kita dalam jihad kita? Mujahadah untuk bangkit dari tidur yang sangat enak, mujahadah untuk pergi ke kelas yang jauh, mujahadah untuk ke kelas selain daripada bersuka ria dan bermacam mujahadah kita demi menuntut ilmu. Jika setiap kali kita ke kelas berbekalkan niat kerana mencari redha dan ilmu Allah, insyaAllah, Allah akan mengambil kira niat kita itu. Jangan pernah sesekali sangsi padaNya.

Memang, aku tak nafikan. Proses pembelajaran sangat tertekan. Aku sendiri pun rasa macam nak naik gila. Tapi kan, kalau kita kembali pada Allah, letakkan keyakinan kita pada Dia, insyaAllah, Dia akan tolong kita. Setiap keputusan dan hasil yang kita dapat bukan bermakna Allah menjawab doa dan bukan juga bermakna Allah tidak menjawab doa tetapi Allah berlaku adil kepada kita. Dia memberikan apa yang selayaknya dan yang semampunya bagi kita.

Mungkin, dengan hasil yang baik, aku akan lupa Allah.

Mungkin, dengan hasil yang baik, aku akan ingat Allah.

Mungkin dengan hasil yang tidak baik, aku akan lupa Allah.

Dan…..

Mungkin, dengan hasil yang tidak baik, aku akan ingat Allah.

Allah itu Maha Mengetahui. KeadilanNya bukan terletak atas usah kita yang lalu sahaja malah atas apa yang bakal berlaku pada kita. Pesan aku buat adik-adik usghah aku yang comel-comel, bersabar dan bersyukur. Dan jadilah orang yang beruntung.

Ujian Allah itu sekadar menguji iman kita.

Ujian Allah itu tanda keampunan Dia buat kita.

Ujian Allah itu tanda rindu Dia mendengar rintihan kita.

Ujian Allah itu kayu ukur kesabaran kita.

Ujian Allah itu tanda ingatan Dia pada kita.

Ujian Allah itu satu rahmat.

Memandangkan semua yang membaca ini pun macam dah dekat-dekat dengan exam. Banyakkanlah bersabar. Jangan terlalu sedih, dan jangan terlalu gembira.Perjalan hidup masih jauh, insyaAllah. Jangan kerana satu kegagalan kita terus jatuh dan tak bangun-bangun, itu sifat orang yang gagal. Orang yang berjaya adalah orang yang tak pernah berputus asa biar berkali-kali dia jatuh.

Lihat bayi yang baru mendapat kaki (dapat jalan), berkali-kali jatuh pun, dia akan tetap bangun hendak menuju ke destinasi yang di tuju. Sampai menangis-nangis nih~ Nak jugak jalan. Sampailah dia mampu berlari. Itulah kita semua masa kecik-kecik. Kenapa bila dah besar, dah mampu berfikir, kita tidak lagi sebegitu kuat? Malulah kita pada bayi yang masih belum mengenal kehidupan yang kuat semangatnya. Kembalikan semangat itu! Yeah~

Memandangkan proses menaip ini berlaku pada jam 2 pagi sementara menunggu subuh yang semakin cepat, kemerapuan semakin kerap berlaku. Haraf dimaafi.

Sekian. Moga terhibur.

 

 

p/s: Buat T-rex, awak jangan sedih sangat. Tak sampai suku pun lagi perjalanan yang awak lalui. Ingat Allah. Baca Qur’an. Banyak ayat romantis pujukanNya buat kita-kita ni. Lagi-lagi Surah Al-Insyirah. Amalkan, insyaAllah, Allah mendengar awak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Let's hear it from you.